Solat Aidilfitri di masjid jajahan dibenar 50 jemaah

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelaksanaan solat sunat Aidilfitri, solat fardu dan Jumaat di masjid negeri, bandar dan jajahan di Kelantan dibenarkan dengan 50 jemaah sahaja.

Begitu juga masjid mukim kategori ‘A’ di seluruh Kelantan dibenarkan dalam jumlah yang sama.

Bagi masjid mukim besar dan mukim kecil di seluruh negeri itu hanya dibenarkan 20 jemaah sahaja.

- Advertisement -

Manakala bagi surau dan musalla hanya dibenarkan kepada empat kakitangan sahaja. Peraturan itu berkuatkuasa bermula 12 Mei ini sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara itu mengampuni perkenan Sultan Muhammad V sebagai Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan.

Katanya ia selaras dengan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

“Jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter dan mengikut semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sebelum ini.

“Aktiviti-aktiviti lain adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksana ketetapan tersebut,” katanya pada kenyataan hari ini.

Menurutnya tindakan sewajarnya akan diambil di atas kegagalan mematuhi SOP terbabit.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,” katanya yang juga Tengku Temenggong Kelantan. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -