Bantuan tambahan penduduk terjejas Covid di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi membantu golongan asnaf yang terkesan akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika Ramadan sekarang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, sumbangan berkenaan diagih di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) di seluruh Kelantan.

Menurutnya sumbangan siri pertama diberi kepada golongan asnaf dan miskin termasuk armalah, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

- Advertisement -

“Turut dibantu wakaf katil kepada pesakit kronik di seluruh negeri yang dikenal pasti melalui penghulu-penghulu di setiap mukim.

“Sekiranya terdapat PKP yang lebih ketat akan ada pula bantuan tambahan kepada mereka yang benar-benar terjejas,” ujarnya ketika ditemui pada program pengagihan juadah berbuka kepada orang ramai di Stesen Bas Bandar Kota Bharu di sini kelmarin.

Sumbangan berkenaan diadakan berperingkat-peringkat bermula 7 Mei lalu membabitkan 100 bungkus makanan setiap hari selama tiga hari.

Mumtaz turut memberitahu sepanjang tahun lalu kerajaan negeri membelanjakan RM675,000 melalui Skim Cakna Suri.

Menurutnya, bayaran one off itu diberikan kepada 6,750 suri rumah kategori B40 bagi siri pertama bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

“InsyaAllah dalam jangka masa terdekat ini kerajaan negeri akan meneruskan Bantuan Cakna Suri siri kedua membabitkan 4,500 penerima.

“Kami juga akan memperkenalkan Bantuan Cakna Hawa kepada 4,500 penerima khususnya kepada golongan wanita bekerja yang berpendapatan rendah terkesan dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Kata beliau juga penularan wabak Covid-19 kebanyakannya memberi kesan kepada penduduk kampung dan peniaga kecil.

Malah katanya Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob memberi arahan kepada semua Exco bagi melihat bentuk sumbangan berdasarkan portfolio masing-masing dalam usaha membantu rakyat.

Mumtaz turut mengucapkan terima kasih kepada penyumbang dan penggerak NGO yang turut menghulurkan sumbangan. – HARAKAHDAILY 11/5/2021

- Advertisement -