Jangan tekan ‘riders’ penghantar makanan

- Advertisement -

BENTONG: Dewan Pemuda PAS Kawasan Bentong telah menganjurkan program pemberian juadah berbuka puasa secara pandu lalu kepada petugas FoodPanda bertempat di KFC Bentong, di sini petang semalam.

- Advertisement -

Program ini bertujuan menyantuni para petugas FoodPanda Bentong yang begitu dedikasi menjalankan tanggungjawab dan amanah mereka sebagai penyampai makanan kepada penduduk pelanggan sekitar.

Ketua Pemuda PAS Bentong, Mohd Naqib Sahimi memimpin inisiatif ini bersama Ahli Jawatankuasa Harian Pemuda PAS Bentong dan diserikan lagi dengan kehadiran Pemyelaras DUN Ketari, Ustaz Roslan Mad Esa.

“Kami berharap agar program sebegini mampu mengeratkan hubungan antara Dewan Pemuda PAS Bentong dan petugas FoodPanda kerana mereka juga adalah ‘barisan hadapan’ yang setia berkhidmat menyampaikan makanan terus di depan pintu rumah kita khususnya dalam bulan Ramadan ini

“Ianya sejajar dengan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud, “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa”,” ujar Naqib usai mengiringi Ustaz Roslan menyampaikan sumbangan duit raya kepada para ‘rider’ FoodPanda Bentong.

Naqib turut mengulas mengenai sikap sesetengah pelanggan yang kurang sabar terhadap para ‘rider‘ ini jika mereka terlewat menghantar pesanan atas faktor-faktor yang tidak disengajakan seperti hujan lebat.

“Tolong jangan tekan mereka. Mereka cari rezeki, memudahkan urusan kita dan kita mudahkanlah urusan mereka. Apapun terjadi jangan sebut ‘lambat’ kepada mereka sebaliknya akhirilah dengan ucapan terima kasih,” ujar beliau simpati.

Sebelum ini tular kisah seorang penghantar makanan berada di luar rumah pelanggan ketika hujan lebat dan telah mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ada yang menangis melihat pemuda itu dalam keadaan basah kuyup, tidak terkecuali ramai ‘panas hati’ dengan pelanggan yang membuat pesanan ketika hujan lebat.

FoodPanda merupakan antara pelopor syarikat penghantaran makanan di Malaysia yang bermula sejak tahun 2012 dengan logo muka panda hitam putih, namun sejak tahun 2017 ia telah bertukar wajah menjadi warna merah jambu untuk orang ramai lebih mudah mengingati kehadiran mereka. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -