Anak-anak istimewa OKU dirai ADUN Damak

- Advertisement -

JERANTUT: ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud telah meraikan anak-anak istimewa orang kelainan upaya (OKU) sempena Ramadan pada majlis yang dilangsungkan di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, di sini.

- Advertisement -

Seramai 35 penerima sumbangan termasuk anak-anak istimewa OKU pekak dan bisu telah dihimpunkan pada majlis penuh ceria anjuran Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Damak di dewan masjid tersebut, semalam.

Selain meraikan dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban golongan ini, ia juga sebagai memberi mesej kepada masyarakat untuk prihatin dan memberi perhatian terhadap nasib anak-anak istimewa ini.

“Mereka juga sebahagian daripada masyarakat di sekeliling kita yang perlu diambil berat dan diberi perhatian,” ujarnya gembira program ini mengukir keceriaan di wajah mereka.

Majlis turut dipermudahkan dengan bantuan jurubahasa isyarat yang menjadi perantara menyampaikan komunikasi antara pihak penganjur dengan semua tetamu istimewa sepanjang program berlangsung.

Hadir sama Ketua Penerangan PAS Kawasan Jerantut, Ustaz Abdul Ghani Abd Kadir dan Ahli Jawatankuasa PAS Jerantut, Tuan Guru Hod Abdul Rahman serta pimpinan lain dari pelbagai peringkat dan jawatan.

“Saya berharap ibu bapa dan penjaga anak-anak istimewa ini supaya bersabar dan redha dengan kehadiran mereka yang merupakan anugerah terindah daripada Allah S.W.T.

“Mereka adalah kurniaan Allah yang mengundang kasih sayang-Nya kepada kita semua di muka bumi. Justeru, kehadiran mereka perlu diraikan sebaiknya,” ujar Ustaz Zuridan lagi.

Beliau pada majlis itu menyampaikan sumbangan berupa keperluan dapur, kuih raya dan duit raya. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -