Singgah Sahur Pemuda Kuantan hargai ‘frontliners’

- Advertisement -

KUANTAN: Petugas barisan hadapan negara atau ‘frontliners’ telah menerima sanjungan menerusi program Singgah Sahur yang dilaksanakan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuantan.

- Advertisement -

Sebanyak 135 pek juadah sahur berupa nasi putih bersama ayam paprik, sayur dan teh o panas disediakan khas anak-anak muda PAS yang mengedarkannya ke 10 premis di bandar ini, di sini semalam.

Mereka telah berkunjung ke Balai Polis Trafik Kuantan, Pejabat Pertahanan Awam Kuantan, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, Hospital KPJ Kuantan seeta Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan.

Turut sama ke agensi dan premis swasta iaitu Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri serta Pejabat Tenaga Nasional selain beberapa sekatan jalan raya (SJR).

Ketua Pemuda PAS Kuantan, Khairul Nizam Che Mustofai dan Setiausaha Pemuda PAS Kuantan, Wan Razali Wan Nor memimpin Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Kuantan yang lain pada program ini.

“Program ini secara tidak langsung mendidik jiwa kami anak muda untuk terus kuat dan bersemangat bertugas di waktu bila sahaja diarahkan.

“Mereka (frontliners) sanggup bertahan demi amanah tugas, kita anak muda juga boleh! Seperti apa yang dilakukan sekarang menyantuni mereka sebagai tanda empati dan turut merasai sama, beratnya bebanan tugas mereka.

“Program turun padang sebegini, dapat mengenali mereka lebih dekat dan dapat menjalin ukhuwah dengan mereka. Di samping itu dapat memperkenalkan dan mesrakan PAS kepada mereka,” ujar Khairul Nizam.

Destinasi terakhir serahan adalah bersahur bersama anggota polis marin di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 3 Kuantan yang diketuai pegawai bertugas, Sarjan Mohd Faizal Mohd Ali sekitar jam 4 pagi.

“Dalam sahur bersama itu, kami mengisi kesempatan dengan berbincang mengenai peluang membuat program bersama dalam bidang marin untuk Jabatan Amal Kuantan.

“Dengan adanya program sebegini akan merapatkan dan memasyarakatkan PAS juga membina talian kemesraan dengan dengan dunia luar,” ujar Khairul Nizam lagi.

Turut bersama adalah Komandan Jabatan Amal PAS Kuantan, Muhammad Abdul Hadi Badrul Hisham dan anggota-anggotanya. – HARAKAHDAILY 10/5/2021

- Advertisement -