Futsal Sahur DACS dapat sambutan hangat

- Advertisement -

PAYA BESAR: Pertandingan Futsal Sahur anjuran Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Kawasan Paya Besar mendapat sambutan hangat daripada anak-anak muda sekitar DUN Panching walaupun penat berpuasa di siang hari.

- Advertisement -

Pertandingan Futsal Sahur ini merupakan satu altenatif daripada DACS Paya Besar dalam mendekati golongan muda di samping menyebarluaskan mesej bahawa puasa bukanlah alasan untuk tidak aktif bersukan.

Program anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Panching ini juga telah menarik penyertaan daripada Pemuda Umno Bahagian Paya Besar sebagai pasukan jemputan di Lagend Futsal Batu 6 Jalan Gambang, di sini semalam.

ADUN Panching, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dalam ucapan perasmiannya menekankan peranan sukan untuk menambah persahabatan dan membina anak-anak muda yang baik peribadi dan akhlak.

“Apa yang penting dalam kita bersukan ini adalah kita dapat menambah kawan dan bukannya untuk bergaduh. Lebih-lebih lagi kita dapat membina anak-anak muda yang baik peribadi dan baik akhlaknya,” ujarnya yang juga Yang Dipertua PAS Paya Besar.

Program bermula jam 10.00 malam tersebut berjaya menarik 12 pasukan berentap untuk mendapatkan hadiah berupa wang ringgit berjumlah hampir RM1,000 itu menyaksikan pasukan Pemuda Umno muncul juara pertandingan.

Kemenangan dengan menumpaskan pasukan Tas Ria melalui penentuan jaringan sepakan penalti itu melayakkan Pemuda Umno Paya Besar membawa pulang hadiah utama wang tunai RM500 serta hamper.

Manakala pasukan Tas Ria membawa pulang hadiah wang tunai RM300 serta hamper dengan tempat ke tiga dan ke empat dimenangi oleh pasukan PBLP B dan pasukan Panching Selatan B membawa pulang RM100 dan RM80.

Hamper yang juga disediakan kepada semua pasukan yang menyertai pertandingan di mana hadiah-hadiah disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Paya Besar, Ustaz Mohd Fazli Mohd Nor. – HARAKAHDAILY 9/5/2021

- Advertisement -