Ustaz Rosli ziarah anak yatim, miskin serah duit raya

- Advertisement -

KUANTAN: ADUN Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar telah menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim dan miskin di Peramu, Sungai Isap, Taman Berjaya Permai, Kempadang Makmur dan Taman Soi Jaya, di sini.

- Advertisement -

Masing-masing mereka itu telah menerima sumbangan duit raya RM100 secara tunai oleh pihak ADUN yang disampaikan melalui ziarah rumah ke rumah dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) kesihatan dan keselamatan. 

Pelaksanaan ini berbeza dengan sebelumnya berikutan pandemik COVID-19ketika ini di mana tahun-tahun lalu sumbangan dibuat bersama pembelian baju raya dengan membawa anak-anak berkenaan ke pasaraya.

Bantuan ini adalah inisiatif pihak ADUN Tanjung Lumpur untuk meringankan beban keluarga anak yatim dan asnaf dalam menyambut kemenangan Islam Hari Raya Aidil Fitri yang bakal berlangsung tiba.

Turut hadir mengiringi adalah Ketua Muslimat PAS Cawangan Peramu, Zauyah Ahmad dan Ketua Ameerah DUN Tanjung Lumpur Siti Aminah Abdul Aziz serta beberapa ahli Muslimat PAS setempat.

Pejabat ADUN turut memberi tumpuan dan bantuan barang harian kepada mereka yang sedang menjalani kuarantin di rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat peningkatan kes di Tanah Putih Baru.

“Mudah-mudahan ianya sedikit sebanyak dapat membantu dan semoga semuanya segera sembuh serta dijauhi dari wabak COVID-19,” ujar Ustaz Rosli Jabar yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Aktiviti bantuan barang harian telah dilaksanakan sebelum ini oleh pihak ADUN kepada para penduduk setempat yang menjalani kuarantin, malah Ustaz Rosli sendiri menyediakan juadah berbuka puasa untuk petugas barisan hadapan.

Sumbangan berbuka puasa ini dijangka disediakan sehingga akhir Ramadan, manakala pemberian duit raya juga akan diteruskan di beberapa tempat lagi dalam DUN Tanjung Lumpur untuk hari-hari berikutnya.

Para dermawan juga boleh menyokong usaha ini menerusi sumbangan kepada pihak ADUN ke akaun Maybank 5562 2640 2359 atas nama Dana Kebajikan Rakyat DUN Tanjung Lumpur. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -