NGO bukan-Islam tawar diri terlibat program Ramadan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Pertubuhan India Prihatin Pahang bersama Pusat Khidmat DUN Beserah serta Kelab Rukun Tetangga (KRT) Alor Akar dan Air Putih telah mengedarkan bubur lambuk kepada warga setempat.

- Advertisement -

Juadah untuk berbuka puasa itu juga menjadi bahan dakwah dalam mengikat hubungan baik dan kemesraan di antara orang Islam dan bukan-Islam apabila turut diedarkan kepada kaum Cina dan India, di sini.

ADUN Beserah, Andansura Rabu berkata, sebanyak 700 pek bubur lambuk ditempah dan telah diagihkan sekitar Air Putih, Alor Akar kemudian kepada jemaah di Masjid Bukit Sekilau Kuantan, di sini baru-baru ini.

“Kita juga mengagehkan kepada Jawatankuasa Kerja Kampung (JKK) Semambu untuk diberikan kepada Masjid Semambu selain dari pengunjung di Bazar Ramadan Beserah,” katanya mengetuai program ini.

Menurut Andansura, program ini bertujuan untuk mendekati masyarakat dengan kerjasama dari NGO bukan-Islam yang datang menawarkan untuk bersama-sama membiayai dan juga mengagihkan bubur lambuk ini.

“Mereka kelihatan selesa dan tiada perasaan cangung ataupun perasan serba salah apabila mereka  berada bersama dengan kita.

“Selain dari kita mendapat beri makanan kepada orang berbuka puasa, kita lihat orang bukan-Islam juga telah mula belajar menghormati apa yang kita lalui,” tambah Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang.

Bersama agihan bubur lambuk istimewa itu, mereka juga mendekati orang ramai dengan edaran akhbar Harakah terkini sebagai satu usaha dalam menyebarluaskan lagi maklumat PAS.

Pengerusi Pertubuhan India Prihatin Pahang, Kalawathi Mariappan berkata bubur lambuk tersebut ditempah pihaknya dengan Iman Care Catering yang sudah pasti ianya halal dan terjamin kesuciannya.

“Kita mahukan agar ada perasaan saling menghormati di antara satu sama lain, walaupun kami bukan-Muslim tetap menghormati bulan puasa juga. Yang penting perpaduan kita rasakan bersama,” tambah Kalawathi lagi.

Turut serta adalah Pengerusi NGO Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Kuantan (WI), Tengku Asidah Tengku Kadir dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Indera Mahkota, Aizah Abdul Aziz. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -