Sertai pencalonan Anugerah Belia Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Belia dan beliawanis dalam negeri ini dipelawa untuk mendaftar dan menyertai pencalonan Anugerah Khas Belia Terengganu 2021 bermula 6 Mei.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, anugerah yang menawarkan hadiah terkumpul sehingga RM20,000 itu membabitkan lima kategori bagi mengiktiraf kemampuan anak kelahiran Terengganu.

- Advertisement -

“Antara kategori tersebut adalah Anugerah Usahawan Belia Terengganu, Anugerah Belia Tani, Anugerah Sukarelawan, Anugerah Pemimpin Muda Terengganu (15 hingga 25 tahun) dan Anugerah Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu.

“Sebaik pendaftaran dibuka, borang penyertaan boleh dimuat turun dan diisi secara atas di  www.beliaterengganu.org.my bermula 6 sehingga 20 Mei 2021.

“Untuk pengetahuan, program ini merupakan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Majlis Belia Negeri Terengganu (MBNT) & Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT),” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Sidang Hebahan Program tersebut di Permai Hotel, malam kelmarin.

Tambah Wan Sukairi, program tersebut mula diperkenalkan di peringkat negeri pada tahun 2019 bagi menghargai kumpulan belia dan beliawanis di dalam kategori Usahawan, Asas Tani, Permata dan Sukarelawan.

“Pada tahun 2021, anugerah tersebut terus dikekalkan dengan penambahan bagi kategori khas ADUN Belia Terengganu.

“Selain itu, ia juga meraikan kejayaan belia dan beliawanis yang menunjukkan potensi diri yang cemerlang serta menunjukkan kepada masyarakat mengenai sumbangan belia ke arah meningkatkan pembangunan belia,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari www.beliaterengganu.org.my atau talian Whatsapp di 09-624 2200. – TRDI.my

- Advertisement -