Manchester City, Chelsea berentap di final Liga Juara-Juara

- Advertisement -

ANKARA: Chelsea bakal bertemu Manchester City di final Liga Juara-Juara UEFA selepas melakar kemenangan ke atas Real Madrid pada Rabu dengan agregat 3-1, lapor Agensi Anadolu.

Rembatan gol Timo Werner dan Mason Mount memberikan pasukan rumah merangkul kemenangan 2-0 sekali gus menyingkirkan juara 13 kali Liga Juara-Juara, Real Madrid di perlawanan separuh akhir di Stamford Bridge.

- Advertisement -

Chelsea bakal beraksi di final pertamanya sejak 2012 manakala Manchester City melangkah ke pusingan akhir selepas membenamkan Paris Saint-Germain 4-1 secara agregat.

Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel muncul pengurus pertama dalam sejarah Liga Juara-Juara dan Piala Eropah yang mara ke final untuk dua musim berturut-turut dengan kelab berbeza.

Musim lalu, Tuchel membimbing Paris Saint-Germain untuk layak ke gelanggang akhir namun, tewas kepada Bayern Munich 1-0 di Lisbon.

Kedua-dua pasukan Liga Perdana itu akan berentap di Stadium Olimpik Ataturk Istanbul pada 29 Mei untuk merebut takhta pasukan terbaik di Eropah pada 29 Mei.

Menteri Belia dan Sukan Turki Mehmet Muharrem Kasapoglu turut memuat naik di Twitter mengenai  perlawanan itu.

“Bandar penuh memori menanti kehadiran anda!” – BERNAMA

- Advertisement -