Covid-19: Pengalaman PRN Sabah perlu jadi iktibar

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September tahun lepas perlu dijadikan iktibar bagi menghapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rakyat tidak bersedia untuk mengulangi kesilapan PRN Sabah sebelum ini.

Katanya apabila diadakan PRU di saat negara dilanda Covid siapa yang berani hendak keluar mengundi.

- Advertisement -

“Lagi pun bukan nak keluar memangkah sahaja tetapi banyak proses yang perlu dilakukan sebelum tarikh mengundi,” katanya di sini semalam.

PRN Sabah pada akhir tahun lepas menyebabkan wabak Covid-19 menular semula di negara ini, di mana sebahagian besar berasal dari kluster Sabah.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, pengalaman berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan beberapa perkara penting seperti persediaan petugas SPR, pusat mengundi dan aktiviti kempen.

“Banyak perkara yang menghalang, boleh ke keluar mengundi di tempat yang ada Covid, nak kena pakai peralatan keselamatan diri (PPE) atau sebaliknya,” katanya.

Beliau yang juga Adun Jeneri bersetuju sekiranya tarikh PRU15 ditangguh sehingga Malaysia bebas daripada wabak biarpun menimbulkan pelbagai reaksi pembangkang.

“Mereka mesti kata saya gila kuasa nak jadi MB lagi,” ujarnya.

Kelmarin bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan PRU15 ditangguh hingga 2023 memandangkan negara masih dibelengu pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.

Sanusi juga berkata, beliau setuju dengan pandangan bekas perdana menteri terbabit supaya PRU 15 ditangguh ke 2023. – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -