11 lorong tikus baharu dikesan sempadan Besut, Pasir Puteh

JERTIH: Polis mengenal pasti 11 lorong tikus baharu di sempadan Besut dan Pasir Puteh yang digunakan sebagai laluan alternatif pihak tertentu untuk merentas negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata ia sekali gus menjadikan keseluruhan 26 lorong tikus dikesan setakat ini di sempadan Terengganu dan Kelantan.

Advertisement

“Bagaimanapun, kesemua lorong tikus itu telah ditutup dengan kawat duri dan kon, manakala ada lokasi tertentu dipasang penghadang simen,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Tok Saboh dekat Kuala Besut di sini hari ini bersempena pelaksanaan PKP di Besut, mulai esok hingga 20 Mei.

Abdul Rozak berkata selain menutup lorong tikus, rondaan oleh pasukan pemantau di semua kawasan tersebut akan sentiasa dilakukan.

Beliau berkata susulan PKP di Besut, dua SJR baharu akan dilakukan di sempadan Besut dan Setiu iaitu di Kampung Bintang dan Kampung Gong Batu.

“Ia merupakan tambahan kepada tiga SJR sedia ada buat masa ini iaitu di Kampung Gong Manok, Tok Saboh dan Kampung Pachakan di Besut, kesemuanya terletak di sempadan Terengganu-Kelantan.

“Sepanjang PKP ini, orang ramai tidak dibenarkan merentas daerah kecuali mempunyai permit kebenaran polis bagi tujuan yang dibenarkan sahaja,” katanya.

Abdul Rozak seterusnya menasihati orang ramai supaya mendapatkan permit merentas negeri atau daerah yang terkini, memandangkan pihaknya mengesan terdapat pihak menggunakan permit tamat tempoh. – BERNAMA