ADUN Luit prihatin terhadap nasib warga asnaf

- Advertisement -

MARAN: ADUN Luit, Mohd Sofian Abd Jalil telah mengadakan majlis sumbangan Ramadan kepada para penduduk yang dilangsungkan di Surau Raudhatul Jannah, Blok D, FELDA kampung New Zealand, di sini semalam.

- Advertisement -

Mereka yang terpilih menerima sumbangan tersebut adalah dalam kalangan asnaf terdiri daripada golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), sakit, warga emas dan armalah dalam kalangan penduduk setempat.

Seramai 40 penerima hadir pada majlis tersebut, manakala yang tidak dapat hadir telah diserahkan menerusi kunjungan ke rumah di sekitar FELDA Kampung New Zealand, Taman Sri Desa dan Kampung Sungai Kertam.

Sumbangan diberikan oleh pihak penganjur adalah berupa barangan keperluan harian seperti beras dan asas dapur yang bertujuan meringankan sedikit beban ditanggung oleh mereka pada ketika ini dan menjelang sambutan raya.

Menurut Sofian, sumbangan disampaikan adalah sebagai tanda ingatan terhadap mereka yang menghadapi kesukaran dalam mencari rezeki apatah lagi dalam suasana pandemik COVID-19 ketika ini.

“Walaupun nilai sumbangan ini tidak seberapa, namun itulah tanda simpati kita kepada yang kurang berkemampuan,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 7/5/2021

- Advertisement -