Berpegang dengan ilmu dan berhikmah menyampaikan

- Advertisement -

IMAM Malik bin Anas merupakan seorang tokoh ulamak yang sangat diakui keilmuannya sama ada oleh rakyat jelata mahupun pihak pemerintah di istana. Beliau sempat hidup dalam era pemerintahan Bani Umayyah dan Bani Abbasiyyah. 

- Advertisement -

Semasa pemerintahan khalifah kedua Bani Abbasiyyah iaitu Khalifah al-Mansur (136-158H), Imam Malik masih mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan sehingga dijadikan rujukan dalam persoalan-persoalan agama. 

Walaupun begitu, beliau enggan memegang apa-apa jawatan semata-mata kerana mahu bebas berkata benar. Pernah satu ketika Khalifah al-Mansur terbersin di hadapannya, lalu didoakan oleh Imam Malik, ‘Yarhamkallah.’ Doa ini menepati Sunnah Nabi S.A.W yang bermaksud, ‘Semoga Allah merahmati engkau.’

Melihat hal itu, salah seorang pegawai khalifah melarangnya berkata begitu kerana kelihatan seperti tidak beradab dengan khalifah. Kononnya, hal itu memalukan pemerintah. 

Dalam pertemuan berikutnya, Khalifah al-Mansur bersin lagi. Lalu Imam Malik menoleh ke arah pegawai yang melarangnya sebelum itu seraya berkata, ‘Wahai Khalifah, apa yang engkau inginkan? Ikut hukum Allah atau ikut syaitan?’ Lantas Khalifah al-Mansur pun menjawab, ‘Sudah tentulah hukum Allah!’. Maka Imam Malik pun berdoa, ‘Yarhamkallah.’

Pengajaran daripada kisah ini ialah para ulamak mestilah berpegang dengan ilmu dan berhikmah dalam menyampaikan amanah ilmu tersebut sehingga difahami khalayak yang mendengar.

Catatan Zuhur 207

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 6/5/2021

- Advertisement -