Tingkatkan doa, usaha henti penularan Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan membantu dalam meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan rohani bagi menghentikan penularan Covid-19, di samping pencegahan melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam berkata, ini kerana usaha untuk menghentikan rangkaian penularan Covid-19 juga adalah ibadah di sisi Allah SWT.

“Oleh itu, patuhi SOP dan arahan-arahan pihak berwajib. Usaha-usaha mencegah penyakit ini sekali gus dapat meningkatkan nilai tawakal kepada Allah.

“Sempena akhir Ramadan ini, tingkatkan doa agar wabak dan penularan Covid-19 diangkat oleh Allah. Semoga Allah melindungi Malaysia dan rakyatnya daripada menjadi seperti di negara India,” ujarnya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily berkaitan perkembangan semasa varian Covid-19 baharu yang dikatakan mampu bermutasi berganda dan merebak dengan lebih pantas berbanding varian yang lain.

Rosni yang juga pengamal perubatan berkata, usaha bagi memutuskan rangkaian penularan wabak ini adalah peranan semua pihak.

“Rakyat dan kerajaan perlu berganding bahu untuk bersama-sama berusaha agar penularan wabak ini dapat dihentikan,” harap beliau.

Ujarnya, konsep berkebajikan inilah yang dibawa pihaknya bagi memastikan kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara terus terjamin.

Sebelum ini, media melaporkan varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus Covid-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di negara republik berkenaan, sekali gus dibimbangi menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak.

Mengenai varian Afrika Selatan B.1.351, kes pertama kali dikesan di Perak dan Kelantan membabitkan dua kluster, selain terdapat tujuh kes lain dikesan di Selangor.

Selain itu, terdapat pertambahan tiga kes baharu Covid-19 dijangkiti varian B.117 dikesan di Selangor dan Sabah menjadikan kes dijangkiti varian ini sehingga ini sebanyak lapan kes. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -