Jangan samakan Mufti seperti jawatan politik

- Advertisement -

UMAT Islam dan bukan-Islam mesti menghormati alim ulamak Islam apatah lagi yang bergelar Mufti. Mufti membuat sesuatu pandangan dalam perkara-perkara yang bersifat ijtihadi iaitu yang mana tiada pandangan sebelum ini, ataupun terdapat pandangan yang berbeza. Oleh itu, tidak seharusnya Mufti diherdik kerana perbezaan pandangan tersebut.

Jangan samakan jawatan Mufti dengan jawatan lain seperti jawatan politik. Bacalah pandangan tersebut dengan teliti dan selagi mana ia didasari dengan nas-nas, janganlah kita menyanggahnya.

- Advertisement -

Mungkin terdapat juga agenda merendah-rendahkan agamawan termasuk Mufti kerana mahu mempromosi golongan Modernis dan Liberal. Netizen perlu berhati-hati dan tidak terikut-ikut dengan rentak orang politik yang sentiasa berantakan. Jika suatu pandangan itu dihasilkan dengan ilmu, ia seharusnya dihormati.

Mufti Wilayah ditanya mengenai apa hukumnya orang yang merentas sempadan sedangkan kerajaan telah melarangnya. Jawapan beliau jelas ia haram kerana melanggar perintah Ulul Amri, di samping mungkin akan membawa kemudaratan.

Sohibul Samahah tidak ditanya mengenai judi yang diluluskan kerajaan, VVIP yang melanggar SOP, kompaun ataupun masjid yang dikatakan ditutup. Jadi beliau tidaklah menjawab hal tersebut.

Oleh itu, janganlah bangkitkan isu-isu lain yang tidak ditanyakan kepada beliau. Hormatilah beliau sebagai seorang Mufti. Itu pandangan beliau, bukan fatwa pun. Takkanlah kita nak Mufti jawab semua perkara walaupun tidak ditanyakan. Nanti orang kata apa pula Mufti ini tanya satu soalan jawab seratus.

Saya pun selalu terkena macam ini, bila ditanya satu perkara diungkit tidak menjawab perkara yang tidak disoalkan. Kalau kita jawab soalan yang tak ditanya dalam peperiksaan mesti kita gagal peperiksaan tersebut.

Ada masa nanti tanyalah Mufti tersebut soalan-soalan lain itu. Kalau beliau mengelak atau memberi jawapan yang berputar-putar barulah kita boleh kritik jawapan tersebut. Itupun mestilah disulami dengan adab.

Akhir sekali, saya ingin mengingatkan kita semua agar mengelak dari membaca tajuk berita sensasi sahaja sebaliknya merujuk kepada kenyataan sebenar Sohibul Somahah Mufti sebelum membuat sebarang komentar.

DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Timbalan Pengerusi PEMBELA
Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) – HARAKAHDAILY 4/5/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -