Pedoman Al-Quran: Menjaga adab majlis asas keimanan

- Advertisement -

PENGHAYATAN melalui Juz 18 hari ini meneliti satu ayat berkaitan adab seseorang ketika berada dalam majlis bersama Rasulullah SAW dan menjadi tuntutannya untuk meminta izin baginda SAW terlebih dahulu sebelum keluar.

- Advertisement -

Ini menjadi tanda aras keimanan seseorang terhadap Allah dan Rasul-Nya dengan sebenar-benar keimanan. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَإِذَا كَانُوا۟ مَعَهُۥ عَلَىٰۤ أَمۡرࣲ جَامِعࣲ لَّمۡ یَذۡهَبُوا۟ حَتَّىٰ یَسۡتَـٔۡذِنُوهُۚ إِنَّ ٱلَّذِینَ یَسۡتَـٔۡذِنُونَكَ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ ٱلَّذِینَ یُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۚ فَإِذَا ٱسۡتَـٔۡذَنُوكَ لِبَعۡضِ شَأۡنِهِمۡ فَأۡذَن لِّمَن شِئۡتَ مِنۡهُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمُ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمࣱ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman ialah mereka yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan apabila mereka turut bersama-sama dengan Rasulullah dalam sesuatu perkara yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka meninggalkan majlis perhimpunan itu sebelum mereka meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (wahai Muhammad) itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Maka apabila meminta izin kepadamu untuk pergi menjalankan sesuatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan mintalah ampun kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (Al-Nur: 62)

Ibnu Kathir telah menyebut dalam tafsirnya bahawa ukuran keimanan tertinggi seseorang sahabat Nabi turut dinilai melalui adab ketika bersama-sama Nabi SAW. Tidak boleh sama sekali berpisah melainkan setelah menyatakan permohonan untuk keluar jika ada urusan dan setelah mendapat keizinan baginda SAW:

إذا كانوا في أمر جامع مع الرسول، صلوات الله وسلامه عليه، من صلاة جمعة أو عيد أو  جماعة أو اجتماع لمشورة ونحو ذلك أمرهم الله تعالى ألا ينصرفوا عنه والحالة هذه إلا بعد استئذانه ومشاورته. وإن من يفعل ذلك فهو من المؤمنين الكاملين

“Apabila mereka berkumpul bersama Rasulullah SAW untuk solat Jumaat atau hari raya atau solat berjemaah atau berkumpul untuk bermesyuarat atau yang selainnya, Allah SWT memerintahkan mereka untuk tidak meninggalkan majlis melainkan setelah meminta izin dan bermesyuarat dengan baginda SAW. Barang siapa yang melakukannya, maka dia termasuk golongan yang sempurna imannya”. (Tafsir Ibnu Kathīr)

Beradab tidak hanya meminta izin untuk berada dalam sesuatu majlis. Akan tetapi sebelum keluar majlis tersebut, juga perlu meminta izin dengan empunya majlis untuk keluar. Tambahan pula majlis yang diadakan berkaitan dengan taklimat atau perbincangan sangat penting berkenaan agenda pemartabatan Islam dan penyelarasannya.

Sebagaimana berada dalam sesuatu majlis, kita tidak dibenarkan untuk membangunkan orang lain yang sudah datang awal walaupun dia adalah seorang budak, maka apatah lagi untuk menyuruhnya keluar. Penjagaan adab tersebut telah dinyatakan oleh Nabi SAW melalui sebuah hadis:

لا يُقِيمُ الرَّجُلُ الرَّجُلَ مِن مَقْعَدِهِ، ثُمَّ يَجْلِسُ فيه ولَكِنْ تَفَسَّحُوا وتَوَسَّعُوا

“Janganlah seseorang kamu menyuruh seseorang yang lain bangkit dari tempat duduknya lalu kamu kemudian duduk di tempatnya, akan tetapi hendaklah kamu memperluasnya.” (Riwayat Muslim)

Begitulah juga dalam urusan peperangan, ketika Rasulullah SAW memerlukan bantuan tenaga pejuang yang ramai dan infak yang banyak, para sahabat mesti menyahut arahan dan setelah bergegas ke medan tidak diboleh sesiapa berpaling daripadanya.

Sebilangan Mufassirin menyebut bahawa ayat ini juga terpakai kepada arahan kepimpinan yang beriman lagi bertakwa. Ketika mereka mengeluarkan arahan dan pekeliling, maka mesti dihormati dan dipatuhi serta hendaklah diaplikasikan adab tersebut ketika berada dalam sesuatu majlis bersama mereka.

Dalam usaha penyebaran mesej Islam melalui pelbagai medium hari ini, sudah tentu adab tinggi sebegini diperlukan. Jika semua pihak dapat menghormati serta memberikan hak sewajarnya kepada pimpinan, agenda menobatkan Islam khasnya mudah terlaksana.

Apa yang berlaku dalam sesetengah majlis atau program atau mesyuarat, belum sempat lagi tamat, ada yang keluar disebabkan mungkin tidak berpuas hati atau ada berlaku kebocoran maklumat tanpa meminta izin sesiapa. Hal ini mesti dibendung dan langkah tatatertib mesti diambil.

Oleh yang demikian, Islam sangat menitikberatkan persoalan adab dan pembangunan akhlak dalam kalangan umat Islam supaya segala tindakan yang merugikan perjuangan Islam dapat dielakkan. Jika diteliti pada zaman wahyu diturunkan, mereka yang melanggar adab dan disiplin perjuangan terus ditegur serta diambil tindakan.

Maka sewajarnya kita berusaha sesegera mungkin dalam mengambil langkah penyelesaian beserta tindakan sekiranya berlaku apa sahaja permasalahan dalam sesebuah jemaah dan organisasi.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
18 Ramadhan 1442/30 April 2021 – HARAKAHDAILY 30/4/2021

- Advertisement -