Erat hubungan dengan berkongsi rezeki

- Advertisement -

TEMERLOH: Ketua Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menjadikan wang yang terkumpul dari tabungan peribadi sebagai sumbangan hari raya untuk guru-guru PASTI dan SRITI Kawasan Temerloh.

Malah, serahan sumbangan itu juga merangkumi dari tabungan peribadi anak-anak beliau sebagai menyatakan penghargaan kepada para pendidik dan berkongsi lebihan rezeki dalam meniti kegembiraan Aidil Fitri.

Menurut Khairil, di rumahnya memang disediakan tabung peribadi termasuk semua anggota keluarganya dengan anak-anak dilatih sejak kecil berbuat demikian dan tabungan tersebut menjadi sumbangan buat amilin.

- Advertisement -

Naib Ketua Pemuda PAS Temerloh, Ustaz Zulkefli Yusoff berkata, usaha sebegini sangat baik jika dapat dicontohi oleh setiap pemimpin pemuda di mana sumbangan itu juga menunjukkan kebersamaan dalam kebajikan amilin.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Ir Ts Khairil Nizam atas keprihatinan dan perhatian buat para guru PASTI dan SRITI serta mendoakan agar Allah melipatgandakan ganjaran sempena bulan mulia ini.

Beliau yang juga Pengerusi PASTI Temerloh memaklumkan, majlis penyerahan khusus sumbangan Aidil Fitri kepada guru-guru PASTI dan SRITI dalam kawasan ini akan dilangsungkan di Pejabat PAS Kawasan Temerloh, Sungai Gau pada 9 Mei depan.

Pemuda PAS Temerloh dalam pada itu telah mengadakan program Singgah Sahur menyantuni para penjawat awam dalam kalangan anggota pasukan barisan hadapan negara atau ‘frontliners’ di Bandar Mentakab, di sini.

Sebanyak 200 bungkusan juadah sahur telah dikongsikan bersama anggota polis, bomba, tentera, petugas kesihatan dan para pengawal keselamatan yang sedang bertugas ketika program tersebut.

Malah, program ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Yang Dipertua PAS Temerloh, Hasanuddin Salim yang bersama para Pemuda. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -