Penerbangan MAB dari India hanya kargo, tiada penumpang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Beberapa penjelasan mesti dibuat berikutan dakwaan penerbangan Malaysia Airlines dari India dibenarkan memasuki Malaysia menjadi viral di media sosial.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, tidak dinafikan, ia menimbulkan kegusaran ramai dan beliau berharap penjelasan berikut dapat meredakan keadaan.

Menurutnya, selari dengan arahan Kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuatkuasa pada 28 April lalu, semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia.

- Advertisement -

Jelasnya, hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini.

“Semua penerbangan MH yang menjadi viral di media sosial merupakan penerbangan kargo,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.

Menurutnya lagi, mengubah penerbangan penumpang kepada kargo bukanlah sesuatu yang baharu (P2C penumpang-ke-kargo) dan dipraktikkan MAB selama berbulanbulan sebelum ini susulan berlakunya pandemik Covid-19.

“CAAM, MAS Kargo di bawah kendalian Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Suruhanjaya Penerbangan Awam (Mavcom) juga telah mengesahkan fakta ini,” katanya.

Beliau berkata, semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal iaitu pada 10 April.

Katanya, pelancong bukan Malaysia dari India tidak dibenarkan memasuki atau transit di Malaysia pada masa ini.

Walau bagaimanapun, jelasnya pengecualian akan dibuat untuk warganegara Malaysia yang memasuki Malaysia dari India tanpa melalui Imigresen dan Kastam.

“Semua kru (juruterbang, jurutera, dan kru kabin) tetap berada di atas kapal. MAB juga melarang mana-mana krew penyelenggaraan pesawat dari India memasuki pesawat yang berkenaan,” katanya.

Tambahnya, pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara, pekerja perniagaan, dan pelajar antarabangsa dari India juga akan dihalang tertakluk kepada arahan yang berkuatkuasa 28 April lalu.

Menurutnya, warganegara Malaysia (pelajar dan pekerja), keluarga mereka dan pasangan bukan warganegara Malaysia yang pulang ke Malaysia dari India juga dibenarkan dengan kuarantin mandatori 14 hari di pusat-pusat yang ditetapkan.

“Untuk makluman, setelah mesyuarat MKN pada 28 April 2021 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berakhir pada pukul 5 petang, saya telah menganjurkan perjumpaan secara maya pada jam 5.10 petang dan secara peribadi berkomunikasi dengan semua pihak yang berkepentingan berdasarkan hasil pertemuan tersebut.

“Walaupun saya sangat kesal dengan penyebaran beberapa maklumat yang salah mengenai status penerbangan ini, namun saya memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di negara seluruh dunia dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan,” jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -