Amalan utama di bulan Ramadan

- Advertisement -

SELAIN puasa itu sendiri ialah perkara fardu lain seperti: Solat fardu 5 waktu, zakat jika ada. Semua perkara fardhu wajib dikerjakan dan diberi keutamaan mengatasi perkara lain kecuali perkara tertentu sewaktu Darurat. Perkara Fardu lebih utama dari perkara sunat. Abu Hurairah meriwayatkan sabda Nabi S.A.W:

- Advertisement -

أول ما يحاسب على العبد يوم القيامة الصلاة

Perkara utama yang akan dihisab dari seseorang hamba hari Qiamat kelak ialah solat.”

(Riwayat Timizi dan Nasaie)

Meninggalkan semua perkara haram seperti: Makan riba’, makan rasuah, menipu dalam urusniaga, peras ugut, berjudi, bercakap bohong, mengumpat, menzalimi pekerja, menzalimi binatang dan sebagainya. Perkara-perkara yang haram akan memusnahkan perkara kebaikan laksana api yang membakar kayu-kayu kering. Oleh itu hendaklah dipastikan dahulu virus perkara haram dibasmi agar amalan sunat yang akan dilakukan membawa erti. Sebagaimana perkara haram memusnahkan amalan kebaikan:

Abu Hurairah meriwayatkan sabda Nabi S.A.W: 

الحسد ياكل الحسنات كما تأكل النار الحطب

Dengki itu akan memakan perkara kebaikan laksana api membakar kayu kering”

(Riwayat Abu Daud)

Melakukan kewajipan dan tugas wajib kepada keluarga, tempat kerja dan sebagainya dengan sebaiknya. Perkara fardu lebih utama dari perkara sunat. Contohnya berbakti kepada ibu bapa terutama yang sudah tua, tugas lebih utama dan baik dari solat sunat Tarawih, bersedekah dan sebagainya. Firman Allah bermaksud:

Dan Tuhanmu memerintahkan agar jangan kamu menyembah kecuali Dia, dan berbuat baiklah kepada dua ibu bapa”

(Isra’: 23)

Ayat tersebut menggandingkan ibadat kepada Allah dengan berbuat baik kepada ibu bapa. Kedua amalan tersebut tidak dapat dipisahkan. 

Menjauhkan diri dari kerja dan aktiviti yang sia-sia seperti banyak tidur, permainan elektronik, menonton program tidak bermanfaat, perbualan sia-sia baik secara terus, media sosial dan sebagainya.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan sabda Nabi S.A.W:

من حسن اسلام المرء تركه مالا يعنيه

Antara tanda eloknya keIslaman seseorang itu ialah ia menjauhi perkara yang sia-sia.”

(Riwayat Tirmizi)

Membanyakkan bersedekah, terutama memberi makanan berbuka puasa kepada orang miskin, kelaparan, golongan gelandangan, anak yatim, golongan yang hilang pekerjaan atau pendapatan akibat COVID-19 dan sebagainya.

Adib Hatim meriwayatkan sabda Nabi S.A.W yang bermaksud:

 “Bertakwalah kepada Allah, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Melakukan perkara sunat mengikut keutamaan. Seperti solat fardu 5 waktu berjamaah, melakukan solat sunat Rawatib, solat sunat Tarawih dan Witir, solat Tahajud, solat Dhuha, dan sebagainya. Membanyakkan membaca al-Quran, selawat, tasbih, iktikaf, menyegerakan berbuka dan melewatkan sahur.

S.F. DATO’ ASAD AWANG 
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak – HARAKAHDAILY 15/1/2021

- Advertisement -