Pahala berselawat ketika solat tarawih

- Advertisement -

Soalan:

Apakah kelebihan bagi orang yang berselawat ketika mereka menunaikan solat tarawih di bulan Ramadhan kerana ada orang yang mengatakan selawat tersebut adalah sia-sia kerana tidak ada dalilnya?

Jawapan:

Telah berlaku ijmak sekalian orang Islam bahawa selawat adalah termasuk amal solih yang sangat dituntut oleh agama mengerjakannya.

Dan telah ijmak juga bahawa siapa sahaja dari kalangan orang Islam yang berselawat sama ada di dalam solat atau di luar solat dan sama ada siang atau malam dan di mana sahaja tempat dia berada akan mendapat kelebihan berselawat melainkan pada tempat atau keadaan yang datang nas melarangnya.

Dan bersamaan mendapat pahala berselawat itu sama ada diucapkan sebelum solat atau selepas solat dan sama ada ketika menunaikan solat tarawih atau solat yang lain kerana perintah berselawat yang datang dalam hadis-hadis yang sahih tidak mensyaratkan pada masa yang tertentu dan tidak juga mensyaratkan pada tempat yang tertentu.

- Advertisement -

Pendek kata siapa yang berselawat bila masa sahaja dan di mana sahaja maka dia akan mendapat kelebihan berselawat.

Ini adalah kerana Allah Taala telah memerintahkan berselawat ke atas Nabi saw tanpa mensyaratkan dengan masa dan tempat.

Firman Allah Taala:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Ertinya: “Sungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu sekalian ke atasnya dan ucap salamlah dengan sebaik-baiknya.” (Al-Ahzab: 56)

Berkenaan dengan bilangan atau jumlah kelebihan atau pahala yang diperolehi oleh seseorang yang melakukan suatu amal hendaklah dirujuk kepada nas yang datang pada menyebutnya.

Dan telah datang beberapa hadis pada menyebut tentang kelebihan dan balasan pahala yang dijanjikan bagi orang-orang yang berselawat ke atas Nabi SAW itu.

Di antara kelebihan yang akan diperolehi oleh orang yang berselawat ke atas Nabi SAW ketika bersolat tarawih itu ialah Allah memberinya rahmat dan menggandakan pahalanya.

Telah diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَلَّى عَليَّ واحدةً صلى الله عليه عَشْرًا

Ertinya: “Siapa yang berselawat ke atasku sekali selawat nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Berkata Imam As-Suyuthi:

قَالَ القَاضِي مَعْنَاهُ رَحمته وتضعيف أجره

Ertinya: “Telah berkata oleh Al-Qadhi Iyadh: Makna Allah berselawat itu ialah Allah memberinya rahmat dan digandakan pahalanya.” (Kitab Syarah Suyuthi ‘ala Muslim)

Dan juga dapat bagi orang yang berselawat ketika solat tarawih itu akan sepuluh pahala bagi sekali selawat dan dihapuskan sepuluh kesalahannya dan dengan sekali selawat itu juga diangkat baginya sebanyak sepuluh darjat.

Telah diriwayatkan dari Said bin ‘Umair Al-Ansari daripada bapanya r.a. berkata Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ صَلَّى عَلَيَّ مِنْ أُمَّتِي صَلَاةً مُخْلِصًا مِنْ قَلْبِهِ، صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَرَفَعَهُ بِهَا عَشْرَ دَرَجَاتٍ، وَكَتَبَ لَهُ بِهَا عَشْرَ حَسَنَاتٍ، وَمَحَا عَنْهُ عَشْرَ سَيِّئَاتٍ

Ertinya: “Siapa yang berselawat atasku dari umatku akan sekali selawat yang ikhlas dari hatinya nescaya Allah akan berselawat dengan sebabnya akan sepuluh selawat dan mengangkatnya dengan sebabnya akan sepuluh darjat dan menulis baginya dengan sebabnya akan sepuluh kebajikan dan memadamkan daripadanya akan sepuluh kesalahan.” (Hadis riwayat An-Nasaie)

Dan lagi orang-orang yang berselawat pada malam-malam Ramadhan ketika bertarawih itu termasuk orang yang paling utama dengan Rasulullah SAW pada hari akhirat nanti.

Telah diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a. sungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

أوْلى النَّاسِ بي يَوْمَ القِيامَةَ أَكْثَرُهُمْ عَليَّ صَلاةً

Ertinya: “Orang yang paling utama denganku pada hari kiamat nanti ialah orang yang paling banyak berselawat ke atasku.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Dan pula adalah sekalian selawat yang diucapkan oleh orang-orang ketika bertarawih itu akan disampaikan kepada Nabi SAW.

Pada riwayat Aus bin Aus r.a. Rasulullah SAW bersabda:

أكْثِرُا عَليَّ مِنَ الصَّلاةِ فِيهِ، فإنَّ صَلاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَليَّ

Ertinya: “Perbanyakkan kamu sekalian akan selawat atasku padanya maka sungguhnya selawat kamu sekalian akan disampaikan ke atasku.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Dan banyak lagi kelebihan yang telah dijanjikan ke atas orang yang berselawat ke atas Nabi SAW sama ada ketika mengerjakan solat tarawih atau pada waktu-waktu yang lain siang atau malam.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -