Pasti Nurul Najah II agih barangan makanan

- Advertisement -

TAWAU: Pasti Nurul Najah II mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan berbentuk barangan makanan kepada semua pelajarnya.

- Advertisement -

Sumbangan itu merupakan kerjasama Jemaah Ibu Bapa dan Guru (JIBG) dalam mengisi program bulan Ramadan yang diadakan setiap tahun.

Mudirnya, Muhd Syafiq Abd Rahim berkata setiap kali menjelang bulan Ramadan, Pasti Nurul Najah II akan mengadakan program berbuka puasa bersama keluarga pelajar di sini.

“Namun, memandangkan kita masih berdepan dengan wabak Covid-19, kami mengambil inisiatif ini bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan.

“Semua seramai 108 orang pelajar telah diberikan sumbangan tersebut secara sama rata tanpa mengira status pendapatan keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata, keputusan untuk memberikan sumbangan itu dibuat setelah melihat keadaan ekonomi penduduk di daerah ini yang tidak berapa stabil.

“Daerah Tawau sebelum ini telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai telah terjejas pendapatan.

“Kami sedia maklum, ada di antara keluarga murid di sini yang turut mengalami penyusutan pendapatan kerana terpaksa tidak turun bekerja atau menjalankan perniagaan,” katanya

Muhd Syafiq berkata pihak Pasti sentiasa memberikan bantuan mengikut kemampuan sekiranya ada pelajar yang mengalami masalah ataupun ditimpa musibah.

“Melalui JIBG yang diwujudkan, kami selalu turun padang dalam mengagihkan bantuan yang telah dikumpul,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -