Lockdown: Kelantan serah sepenuhnya kepada Pusat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyerah sepenuhnya sebarang keputusan kepada Kerajaan Persekutuan sama ada ingin melaksanakan perintah sekatan pergerakan (lockdown) atau sebaliknya untuk memastikan wabak Covid-19 dapat dikawal dan dilandaikan.

Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, sehingga kini pihaknya belum ada sebarang cadangan yang dikemukakan kepada pihak kerajaan untuk melaksanakan perintah lockdown di negeri ini.

- Advertisement -

“Setakat ini belum ada cadangan untuk melaksanakan lokcdown, kita sedang tunggu isyarat daripada keputusan pusat, dan sekarang kita menunggu apa sahaja arahan dan keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawat Covid-19 (PKRC), di Sekolah Menengah Kebangsaan Salor, di sini hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin dan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Zaini Hussin.

Mengulas lanjut katanya, tahap kebimbangan terhadap peningkatan kes positif Covid-19 terus dirasai, lebih-lebih lagi kebelakangan ini angka kes baharu di negeri ini masih mencatat angka yang tinggi.

“Keadaan Covid-19 di Negeri Kelantan masih tidak menunjukkan sebarang trend penurunan, pertambahan setiap hari menunjukan masih tiga angka.

“Kita sekali lagi mengharapkan masyarakat benar-benar dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kerana itu satu cara yang telah diakui oleh dunia dalam mengurangkan wabak ini dari terus merebak, sebab wabak ini ada dalam komuniti,” katanya.

Justeru itu, beliau menyeru dan mengharapkan agar setiap induvidu perlu mempunyai satu tahap kesedaran yang tinggi malah, masing-masing perlu mengambil tindakan tegas dan sepatutnya bagi mengurangkn kes jangkitan.

Terdahulu Perana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan menilai semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa khususnya di negeri-negeri yang sedang mengalami peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak.

Beliau berkata, penilaian semula ini penting untuk dilakukan bagi memastikan SOP yang berkuat kuasa dan tindakan yang diambil adalah berkesan untuk membendung penularan Covid-19 yang sedang meningkat di negara kita dan di seluruh dunia. – HARAKAHDAILY 2/5/2021

- Advertisement -