Portal E-Learning UniMAP tampung 1,000 pengguna

- Advertisement -

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan portal e-Learning UniMAP melalui inisiatif Majlis e-Pembelajaran IPTA (MEIPTA).

Portal yang sebelum ini dikenali sebagai e-Learning Lab dibangunkan pada 2017 kemudian dinaik taraf kemudahan pelayar membabitkan peruntukan RM50,000 kini dapat menampung kira-kira 1,000 pengguna pada satu-satu masa.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad berkata, portal berkenaan dibangunkan dengan kira-kira 241 kursus aktif menerusi Mod Pembelajaran Teradun sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu.

- Advertisement -

Ujarnya, hasil komitmen Pusat Pembangunan Kepimpinan Pendidikan Lestari (LEAD) dan Pusat Pengurusan dan Pembangunan Digital (DMDC) UniMAP merealisasikan pembangunan semula portal berkenaan sejajar dengan hasrat UniMAP Go Digital dan juga Perlis Go Digital.

“Kini seiring dengan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran normal baharu sehingga Februari 2021, sebanyak 704 kursus yang ditawarkan di peringkat pengajian prasiswazah merangkumi kaedah pembelajaran bersemuka dan dalam talian,” kata beliau ketika berucap di Majlis Pelancaran Portal e-Learning UniMAP dan Anugerah Video Kreativiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) kelmarin.

Turut hadir ialah Pengarah LEAD Prof Dr Mohd Salleh Abdul Rashid. Projek tersebut merupakan agenda UniMAP 2025 iaitu Teras Pengajaran Berpaksikan Inovasi.

Sementara itu, Anugerah Video Kreativiti P&P 2.0 bagi tahun 2020 diraih pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Nur Farhinaa Othman yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 beserta medal dan sijil penyertaan.

Tempat kedua dan ketiga pula diraih Mohd Hafiz Ismail dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Dr Khairun Nisa Khairuddin dari Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan.

Selain anugerah berkenaan, turut disampaikan Anugerah Khas Inovasi Pertama kepada Dr Mohamad Ezral Baharudin, Dr Azuwir Mohd Nor, Dr Mohd Sazli Saad dan Dr Mohd Zakimi Zakaria dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) menerusi inovasi mereka iaitu Lightboard Studio dalam Pengajaran Dalam Talian.

Bagi Anugerah Khas Inovasi Kedua diraih Ts Mohd Haidiezul Jamal Ab Hadi dan Ts Mohamad Suhaimi Shahrin dari FTKM dengan inovasi bertajuk Realiti Maya, Gamifikasi dalam Pembelajaran. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -