PKP: Kedah rujuk SOP sebelum ini

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri setakat ini masih menunggu Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima daerah di negeri itu yang diumumkan semalam.

- Advertisement -

Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, setakat ini SOP dan peraturan berkaitan akan merujuk kepada PKP sebelum ini.

“Bazar Ramadan dan Aidil Fitri akan ditangguh dahulu di lima daerah terbabit sehinggalah SOP baharu dikeluarkan sekiranya ada,” ujar beliau.

Sementara itu katanya lagi, aktiviti rentas daerah dan negeri juga merujuk kepada peraturan sebelumnya.

“Walau bagaimana pun kita masih menunggu sekiranya ada SOP terkini dari Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung PKP kali ini,” ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily semalam.

Lima daerah di Kedah iaitu Kota Setar, Kuala Muda, Baling, Bandar Baru dan Kulim diumumkan semalam dikenakan PKP berkuatkuasa 1 Mei hingga 14 Mei ekoran peningkatan kes positif Covid-19 yang agak mendadak.

Tindakan itu dibuat bagi mengekang dan membendung penularan wabak berkenaan ke kawasan lain di negeri tersebut.

Difahamkan terdapat 709 kes positif Covid-19 di lima daerah berkenaan dalam tempoh 14 hari sehingga 29 April lalu.

“Operasi Bazar Ramadan dan Aidil Fitri di daerah lain berjalan seperti biasa tetapi bersama SOP yang lebih ketat lagi.

“Walau bagaimana pun SOP kegiatan agama di masjid dan surau seperti solat fardhu dan tarawih dan lain-lain di lima daerah terbabit akan dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Kedah,” katanya lagi.

Sementara itu dalam hal lain, tiga Bazar Ramadan di negeri itu diarahkan tutup sementara untuk tujuan sanitasi juga tidak dibenarkan operasi sehingga diberitahu kelak.

Ini berikutan, bazar yang terlibat iaitu di Taman Selasih, Kupang dan Baling terletak di dalam lima daerah yang dikenakan PKP yang bermula hari ini. – HARAKAHDAILY 1/5/2021

- Advertisement -