Kadar gaji minimum sedang dikaji semula

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: Kadar gaji minimum pekerja sedang dikaji semula bagi memastikan ia kekal relevan dengan keadaan sosio-ekonomi semasa, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu gaji minimum dan berusaha membela hak pekerja dengan lebih baik.

“Saya berharap dan menyeru agar semua pihak yang ingin menyuarakan pendapat dan cadangan berkenaan isu ini mengambil bahagian dalam platform yang disediakan,” katanya dalam perutusan sempena Hari Pekerja 2021 yang disiarkan di televisyen hari ini.

Advertisement

Perdana menteri menjelaskan ia merupakan antara usaha yang diambil kerajaan yang menggariskan tiga strategi utama sejak setahun lepas bagi membantu golongan pekerja dalam berdepan kesukaran semasa akibat wabak Covid-19.

Menurutnya strategi pertama ialah mengekalkan pekerjaan, strategi kedua melindungi hak pekerja manakala strategi ketiga mencipta peluang pekerjaan.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga dalam proses menambah baik dan meminda undang-undang perburuhan terutamanya Akta Kerja 1955 dengan meluaskan skop pemakaiannya.

Ia termasuk kepada semua pekerja dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, memanjangkan cuti bersalin kepada 90 hari dan pemberian cuti bersalin selama tiga hari untuk suami, mengurangkan waktu bekerja mingguan daripada 48 jam kepada 45 jam selain memperkenalkan aturan kerja fleksibel.

Dalam usaha mengurangkan jumlah pengangguran, Muhyiddin turut menyentuh usaha yang dilaksanakan kerajaan termasuk perkhidmatan pekerjaan dan pemadanan kerja melalui Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara (MYFutureJobs), pusat sehenti UpskillMalaysia dan program Short-term Employment Program atau MySTEP.

Di bawah program MySTEP, seramai 30,377 telah berjaya mendapat pekerjaan sejak diperkenalkan sehingga 16 April lepas.

Menurutnya bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan meningkatkan bilangan pekerja mahir dalam negara, kerajaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran akan memperkenalkan Dasar Pinjaman Boleh Ubah Program Pinjaman Latihan Kemahiran bagi peringkat Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.

Mengambil kira tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19 sekali gus memaksa banyak institusi latihan ditutup, kerajaan kini mengambil insiatif mewujudkan hab pembelajaran baharu ‘e-LATiH’ bagi membantu rakyat.

Perdana menteri berkata hab pembelajaran berkenaan membolehkan rakyat mengakses secara percuma lebih 300 modul latihan pengembangan kemahiran yang disediakan berdasarkan keperluan industri.

Selain itu, Muhyiddin berkata golongan pekerja adalah petugas barisan hadapan dalam bidang ekonomi dan pembangunan negara serta berperanan penting dalam memastikan kemakmuran untuk semua lapisan masyarakat.

Beliau berkata walaupun banyak bantuan telah disediakan kerajaan, masih terdapat golongan pekerja yang terjejas dan mengambil masa lebih lama untuk kembali menikmati kehidupan seperti sebelum tercetusnya wabak Covid-19.

Muhyiddin berkata beliau bagaimana pun yakin rakyat khususnya warga pekerja akan kekal berdaya tahan dan saling memperkukuh dalam menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara.

“Peranan yang saudara dan saudari mainkan sebagai rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara selama ini adalah sangat penting dan dihargai kerajaan.

“Marilah kita teruskan usaha kita bersama untuk masa depan Malaysia yang aman, makmur dan sejahtera,” katanya.

Mengakhiri perutusan Hari Pekerja 2021 yang bertemakan “Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat”, Muhyiddin turut merakamkan ucapan selamat Hari Pekerja dan penghargaan kepada semua pekerja sektor awam dan swasta serta semua pimpinan dan ahli kesatuan sekerja. – BERNAMA