Pihak desak batal darurat mahu PRU secepat mungkin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembukaan Parlimen hanya akan mengundang kepada perbincangan yang bakal mencetuskan kekecohan di dalam Dewan Rakyat akibat daripada ketidakstabilan politik.

Penganalisis politik, Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berpendapat, desakan sesetengah pihak supaya pengisytiharan darurat dibatalkan adalah satu langkah untuk membolehkan pihak tertentu menggesa kerajaan membincangkan serta mengadakan pilihan raya umum (PRU) secepat mungkin.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya perkara tersebut berlaku, beliau menjangkakan keadaan ekonomi negara dan usaha untuk mengekang penularan Covid-19 akan menjadi semakin sukar dan tidak terkawal.

- Advertisement -

“Saya melihat contoh seperti apa yang telah berlaku pada PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah sebelum ini, sehingga berlakunya penularan (Covid-19) yang sangat besar dan titik tolak daripada situlah sampai ke hari ini kadar (jangkitan) Covid-19 itu semakin merebak dan semakin tinggi,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai penerimaan rakyat melalui tanda pagar #kerajaangagal kata Dr Mohd Syakir, situasi yang dicipta itu telah memberi gambaran seolah-olah kerajaan hari ini tidak mampu mengawal Covid-19 selain tidak berjaya menstabilkan ekonomi negara.

Namun sekiranya diteliti dengan lebih baik, keadaan ekonomi dan dari aspek pengurusannya, beliau yakin rakyat Malaysia dalam kalangan berpendapatan rendah dan peringkat pertengahan dapat merasakan apa yang diusahakan kerajaan hari ini.

“Ini sebenarnya menggambarkan bahawa kerajaan, walaupun dikatakan gagal, tapi gagal dalam menjaga keprihatinan kepada rakyat, itu lebih baik daripada kalau nak disebut gagal, tetapi tidak mampu untuk menjaga rakyat.

“Itu pandangan saya, tetapi bagi saya, kalau lebih daripada itu, sebenarnya keadaan kerajaan pada hari ini berbanding dengan kerajaan di negara-negara yang terlibat dengan Covid-19, saya rasa kerajaan Malaysia mampu menguruskan keadaan politik dan ekonomi dengan sangat baik.

“Kerana kalau tidak ada kerajaan yang ada sekarang, kemungkinan bagi saya, (berlaku) kekusutan dan juga berlakunya provokasi-provokasi politik yang tidak mampu dikawal, akan menyebabkan lagi teruk keadaan ekonomi dan juga keadaan semasa rakyat.

“Rakyat hari ini boleh tengok pandangan-pandangan rakyat, bukan setakat #kerajaangagal, tapi bagaimana rakyat daripada sebelum ini susah dan sekarang ini nampak agak stabil dan boleh menikmati keadaan yang lebih baik daripada kerajaan yang sebelumnya.

“Daripda kita sebut kerajan itu gagal, bagi saya kerajaan pada hari ini adalah kerajaan yang menambah baik daripada apa yang telah pun dibuat oleh kerajaan dahulu,” ujarnya yang juga Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (USM), Universiti Sains Malaysia. – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -