Pemuda PAS simpati, nasihat terus berniaga patuhi SOP

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan turut bersimpati terhadap peniaga burger yang disaman RM50,000 kerana dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketuanya Mohd Ariff Abdullah berkata, peniaga terbabit Wan Faisal Wan Kadir dan peniaga colek Azizi disaman atas kesalahan yang serupa dengan nilai saman sama.

“Saya menyatakan simpati dan memberi sedikit pandangan dan nasihat kepada kedua-dua peniaga terbabit supaya meneruskan perniagaan dengan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya di sini.

- Advertisement -

Menurutnya juga petang semalam Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa menziarahi Wan Faisal di rumahnya di Panji.

Kata beliau Pemuda PAS menawarkan bantuan untuk memudahkan urusan pengurangan saman tersebut.

“Hari ini saya bertemu dengan Wan Faisal dan Azizi di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Bharu semasa mereka membuat rayuan pengurangan saman berkenaan.

“Insya-Allah kadar rayuan yang akan dikenakan tidak terlalu membebankan mereka. Doakan agar dipermudahkan urusan mereka,” ujarnya.

Media tempatan melaporkan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu mengesahkan mengeluar kompaun RM50,000 kepada peniaga burger yang membuka gerai di hadapan rumahnya di Jalan Panji.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, kompaun dikeluarkan terhadap peniaga burger itu kerana didapati melanggar SOP PKP yang dikuatkuasakan di Kelantan sekarang.

Kata beliau polis menerima aduan penduduk kampung peniaga terbabit sering berniaga melebihi masa dibenarkan jam 10 malam.

Berikutan tindakan itu peniaga berkongsi kisahnya dikompaun sebanyak RM50,000 ketika sedang berniaga di hadapan rumah sendiri di media sosialnya.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan Ustaz Mohd Hushaimi Husian pula berkata, beliau bersimpati dengan peniaga terbabit dikompaun RM50,000 kerana kesalahan melanggar SOP.

“PDRM menjalankan tugas sebagai penguatkuasa dan bertindak berdasarkan laporan yang mengatakan kedai burger terbabit beroperasi lebih masa ditetapkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -