Kumpulan grup WhatsApp agih 1,000 bubur lambuk

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kumpulan yang menggelarkan diri mereka Grup Hakikat mengagihkan 1,000 pek bubur lambuk kepada orang ramai di sini semalam.

Kumpulan itu disertai 80 ahli aktif berwacana di media sosial setiap hari.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Zaki Mohd Nor, 50, berkata mereka hanya membincangkan pelbagai isu semasa menggunakan media sosial sebagai platform melibatkan anak-anak tempatan.

- Advertisement -

Katanya, kumpulan itu disertai pelbagai latar belakang politik bergotong-royong memasak bubur lambuk dan mengagih kepada orang ramai di sini.

“Biarpun kami berbeza pendapat dalam beberapa isu semasa namun bersatu hati menjayakan program kebajikan,” katanya ketika ditemui selepas agihan bubur lambuk berhampiran stesen minyak Caltex Padang Pak Amat.

Sebanyak empat kawah bubur lambuk dimasak anggota kelab ini seawal jam 12 tengah hari dan memulakan pengagihan bermula jam 3.45 petang kepada orang ramai di jalan utama Pasir Puteh-Kota Bharu.

Menurutnya juga kejayaan program terbabit membuktikan kematangan ahli-ahli kelab bersatu bagi memeriahkan Ramadan al-Mubarak.

“Ia boleh dijadikan sebagai program tahunan. Malah aktiviti kebajikan lain termasuk membantu asnaf dan anak yatim piatu akan dilaksanakan pada masa akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -