Gurauan rogol: Jangan normalisasikan maksiat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan pelajar membuat laporan polis berhubung gurauan keterlaluan membabitkan seorang guru Pendidikan Jasmani adalah tindakan yang wajar, kata Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam.

Menurutnya, tindakan guru tersebut terbukti salah dari sisi undang-undang syariah, mahupun undang-undang sivil.

“Tidak patut seorang guru buat macam itu, seolah menggalakkan, memberi jalan kepada murid dia, walaupun dalam bentuk gurauan, untuk melakukan perkara-perkara yang tidak bagus, perkara maksiat.

“Sepatutnya dia bertindak sebagai murabbi, pendidik, mendidik anak-anak, dan mendidik anak-anak itu bukan dari segi education yang formal semata-mata.

- Advertisement -

“Macam mana dia hendak mendidik akhlak anak murid dia kalau dengan cara macam itu, membuka jalan kepada jenayah,” ujarnya ketika ditemui selepas selesai memberi Tazkirah Zohor Ramadan di Pejabat Harakah, hari ini.

Mengulas mengenai reaksi segelintir individu yang berpendapat bahawa pelajar tersebut terlalu beremosi, kata Dr Rosni, apa yang dilakukan guru tersebut boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual secara verbal dan tidak timbul isu emosi atau tidak.

Tambah beliau lagi, bukan sahaja perempuan, bahkan lelaki yang baik dan bertanggungjawab tidak akan berdiam diri sekiranya melihat golongan wanita diperlakukan sedemikian.

“Kita tidak boleh (anggap sebagai gurauan) macam itu, normalisasi masiat ini tidak boleh dibiarkan. Nanti semua (benda) hendak dinormalisasi.

“Benda yang tidak bagus hendak dibiasakan, (nanti) jadi semua orang (sudah) tidak rasa apa, itu (menjadi) punca perkara-perkara yang tidak baik,” ujarnya lagi.

Pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima dua laporan daripada pelajar sekolah berumur 16 tahun berkaitan dakwaan seorang guu bergurau seolah-olah menggalakkan perbuatan rogol.

Dakwa seorang pelajarnya itu, kejadian berkenaan berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.

Katanya, pada mulanya ia berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut, sebelum keadaan berukar menjadi sebaliknya. – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -