Polis perketat kawalan di semua laluan tikus

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Polis Kelantan memperketatkan kawalan di semua laluan tikus di negeri itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Ia turut membabitkan semua laluan iaitu masing-masing di Gua Musang dan Jeli.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, sebelum ini sebanyak 17 sekatan jalan raya (SJR) diadakan di Kelantan.

- Advertisement -

Bagaimanapun menurutnya, polis mempertingkatkan lagi sekatan di laluan tikus bagi membendung kejadian rentas negeri.

Beliau berkata, penduduk mempunyai dokumen perjalanan sah akan melalui jalan utama SJR, namun laluan tikus digunakan mereka yang tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan tiada lesen memandu.

“Kami bertegas, walaupun ada dokumen kita akan buat pemeriksaan mengejut.

“Laluan tikus paling banyak dikesan di Pasir Puteh, sebab itu kita tambah dua pasukan kerana laluan di sini menghubungkan Kelantan ke Jerteh dan Besut Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui semasa memantau operasi di laluan tikus Jalan Kampung Jenarah, dekat sini, hari ini. Terdahulu beliau turut memantau laluan di SJR Bukit Yong.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Mohd Azmir Damiri.

Shafien turut mengingatkan orang ramai, sekiranya tiada perkara penting sewajarnya tidak rentas daerah atau negeri.

Katanya, setakat ini 500 anggota polis bekerjasama dengan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi bertugas di SJR di seluruh negeri.

“Seramai 160 anggota lain turut bertugas di enam sekolah dan sekolah tahfiz di negeri ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kita mempunyai anggota mencukupi untuk bertugas di SJR dan kawasan Covid-19, selain itu kita buat kawalan di kawasan awam seperti gerai menjual makanan berbuka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/4/2021

- Advertisement -