Anak muda ikon gerakkan aktiviti perpaduan Ramadan

- Advertisement -

TAMBUN: Anak muda harus menjadi contoh tauladan terbaik bagi menjamin kesejahteraan dan pembangunan sesebuah negara.

Ketua Pemuda PAS Tambun, Ustaz Hafez Sabri berkata, lantaran itu pihaknya menganjurkan program tanpa henti menyantuni golongan asnaf setempat khususnya di daerah Manjoi dari semasa ke semasa.

Beliau yang juga Penyelaras Pusat Khidmat PAS DUN Manjoi menjelaskan, sepanjang tempoh Ramadan ini pihaknya mengatur jadual ziarah masyarakat.

- Advertisement -

Diikuti beberapa program lain bagi memastikan setiap permasalahan dan kisah masyarakat dapat diambil maklum secara langsung.

“Setiap hari kita akan santuni masyarakat. Kita turun ke rumah asnaf-asnaf dan menyantuni mereka yang uzur.

“Saya bersyukur, kebanyakannya menerima baik kehadiran saya dan sanggup berkongsi cerita dengan saya tentang masalah yang sedang dihadapi.

“Apabila kita sendiri yang turun padang menziarahi penduduk, amat berbeza perasaannya. Kita dapat lihat dengan mata kepala sendiri kesusahan yang dilalui penduduk. Masih ramai masyarakat yang memerlukan sentuhan kita semua, (maka) kita perlu bantu membela nasib mereka,” ujar beliau.

Katanya, semangat pemimpin PAS Tambun khususnya di Cawangan-cawangan wajar dijadikan contoh kerana masing-masing memberi komitmen baik dalam usaha menjalankan program kebajikan.

Ia dapat dilihat jelas dengan masing-masing mempunyai idea tersendiri untuk menyemarakkan Ramadan dengan mengusahakan pelbagai aktiviti bagi menyantuni masyarakat sekeliling.

“Ada yang membuat edaran bubur lambuk percuma, martabak percuma, tajaan iftar di masjid, surau dan sebagainya. Lebih unik lagi, terdapat juga program singgah sahur bagi meraikan pekerja-pekerja terpilih. Inilah kekuatan PAS, sentiasa komited dalam aktiviti kebajikan,” kongsinya. – HARAKAHDAILY 23/4/2021

- Advertisement -