Penduduk miskin miliki rumah ‘banglo’ percuma

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Impian penduduk miskin untuk memiliki rumah sendiri tentunya sukar kerana masalah kewangan. Lebih-lebih lagi harga rumah sekarang di luar kemampuan mereka.

Namun bagi penduduk miskin yang memiliki tapak milik keluarga di Kelantan berpeluang untuk memiliki rumah ‘banglo’ tiga bilik.

Di bawah program berkebajikan kerajaan Kelantan melaksanakan program rumah dhuafat sejak 15 tahun lepas bagi membantu penduduk miskin memiliki rumah lebih selesai.

- Advertisement -

Di Dun Gaal turut dilaksanakan projek rumah berkenaan yang diberi percuma kepada penduduk miskin yang layak.

Adun Gaal Ustaz Mohd Rodzi Jaafar berkata, Pusat Khidmat Dun (PKD) Gaal membelanjakan RM520,000 membina rumah dhuafat dan membaik pulih rumah penduduk di Dun berkenaan.

Katanya daripada jumlah itu, sebanyak lapan rumah dhuafat disiapkan pada 2020 dan 14 lagi rumah dibaik pulih.

“Daripada peruntukan RM520,000 sebanyak RM120,000 untuk pembinaan tiga rumah dhuafat yang dilaksanakan setiap tahun.

“Kerajaan negeri bermurah hati menambah RM400,000 lagi kepada setiap Dun, jadi kita menambah lima lagi rumah kepada mereka yang layak.

“Baki peruntukan itu kita membaik pulih 14 rumah penduduk yang melibatkan kos antara RM10,000 hingga RM12,000,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan replika kunci rumah dhuafat di Kampung Mengkelih, dekat sini semalam.

Rumah itu diserah kepada pemiliknya Zali Yusof. Turut hadir Penghulu Mukim Gong Mengkelih, Abu Bakar Ramli.

Mohd Rodzi juga berkata, kesemua lapan rumah yang dibina tahun lalu telah diserahkan kepada pemilik masing-masing tahun ini.

Sementara itu Zali melahirkan perasaan gembiranya kerana mendapat rumah dhuafat yang diidamkannya sejak 12 tahun lalu.

Beliau akan berpindah ke rumah baharu tersebut bersama isteri dan lima anaknya tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 23/4/2021

- Advertisement -