Razman sampaikan buah tangan Ramadan buat asnaf

- Advertisement -

BAGAN SERAI: ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria menyampaikan sumbangan kepada 50 penerima yang terdiri dalam kalangan asnaf ketika majlis iftar di markas PAS Cawangan Semanggol di sini, semalam.

Dalam sesi penyampaian itu Razman menyatakan penghargaan pihaknya kepada semua penerima yang hadir dan ahli PAS khususnya yang telah bersama-sama memberi sokongan penuh sepanjang beliau menjadi ADUN Gunung Semanggol.

“Kesempatan yang ada ini, Pak Teh nak ucap terima kasihlah di atas sokongan yang diberi kepada Pak Teh sebagai ADUN. Hari ini kita ada nak bagi tak berapa banyaklah bukan (juga) bantuan, tetapi sebagai buah tangan untuk menyambut puasa.

- Advertisement -

“Insya Allah sebagai ADUN di kawasan ini, Pak Teh akan terus berusaha menjaga kebajikan rakyat. Yang mana golongan susah yang memerlukan bantuan, kita akan turun (berikan bantuan). Ini kerana kebajikan penduduk di Semanggol ini di bawah tanggungjawab Pak Teh,” ujar Razman yang mesra dipanggil Pak Teh.

Dalam pada itu jelasnya, banyak lagi program sumbangan Ramadan yang kini sedang diatur oleh pihak Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol bagi membantu penduduk setempat.

Razman yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Perak turut mengingatkan hadirin yang hadir dan umat Islam agar memperbanyakkan doa khususnya dalam bulan Ramadan ini agar Allah memakbulkan hajat yang diinginkan.

“Bulan Ramadan ini penuh barakah. Antaranya terdapat dua waktu doa mustajab iaitu ketika hampir waktu berbuka dan ketika hampir waktu imsak. Rebutlah peluang yang amat berharga ini, kerana kita tidak tahu sama ada Ramadan akan datang kita masih hidup atau tidak,” pesannya.

Turut hadir di dalam majlis penyerahan sumbangan itu, Yang DiPertua PAS kawasan Bagan Serai, Abdul Aziz Abdul Majid, Timbalannya Ustaz Sayuti Abdul Ghani, pimpinan PAS Kawasan Bagan Serai dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung yang terlibat. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -