Pahang mahu pastikan tiada pelajar tercicir pendidikan

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Keresahan ibu bapa terutama dalam kalangan yang terjejas atau hilang pendapatan akibat situasi pandemik COVID-19 tidak harus menyebabkan anak-anak tercicir daripada pendidikan.

Sehubungan itu, prihatin dengan situasi tersebut, Kerajaan Negeri Pahang telah menyediakan inisiatif khas peruntukan perbelanjaan bagi kemasukan persekolahan untuk pelajar darjah satu di seluruh negeri ini.

“Kesan dari pandemik COVID-19, sebahagian dari ibu bapa terjejas pendapatan, maka ini akan memberikan sedikit kegelisahan kepada mereka kerana sebelum ini sudah ada dua, tiga anak yang bersekolah.

- Advertisement -

“Nak tambah seorang lagi (masuk darjah satu) dengan perbelanjaan yang semakin meningkat,” kata ADUN Beserah, Andansura Rabu dalam majlis penyampaian RM100 kepada pelajar darjah satu bagi sekolah sekitar Beserah di di Putra Balok Kuantan, di sini baru-baru ini.     

Katanya, kerajaan negeri tidak mahu situasi anak-anak negeri Pahang tidak boleh ke sekolah kerana kemiskinan di mana terdapat makluman adanya kes di mana anak tidak boleh ke sekolah kerana tidak mampu. 

“Saya minta tuan-tuan sekalian bantu kami, bantu saya terutamanya, beritahu kalau ada jiran tetangga yang anaknya tidak bersekolah kerana kemiskinan, ianya tidak seharusnya menjadi beban untuk anak ini, kalau kerana kemiskinan, ia adalah kerja kita semua. 

“Saya berharap kepada ibu bapa, saudara saudari sekalian boleh bantu untuk kita pastikan semua rakyat negeri Pahang ini secara khasnya boleh mendapat pendidikan. Kita tak nak anak kita membesar dalam keadaan yang banyak kekurangan dan cabaran masa depan mereka kita tak tahu macam mana. 

“Sekarang ni pun kita berdepan dengan cabaran yang sangat hebat, sepuluh tahun akan datang kita tak tahu apa yang bakal anak kita tempuhi kalau kita tak siapkan mereka dengan pendidikan,” ujarnya lagi. 

Menurut beliau, secara keseluruhannya, peruntukan sebanyak RM185,000 untuk pelajar darjah satu di seluruh DUN Beserah itu merupakan sebahagian dari Pakej Bantuan Prihatin dalam Belanjawan Negeri Pahang 2021. 

Kerajaan negeri menurut beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, memperuntukkan lebih RM2.5 juta untuk bantuan ini kepada sekolah-sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Yayasan Pahang. 

Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat terutama Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail atas inisiatif sangat bermanfaat itu.

Sebelum ini telah diadakan sebanyak empat sesi melibatkan sekolah-sekolah di Chendor, Cherating, Sungai Ular, Balok dan Sungai Karang. 

Urusan pendaftaran telah dibantu oleh Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota, Jabatan Amal Pahang dan Persatuan India Prihatin Pahang. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -