Adun turun padang pujuk rakyat daftar vaksinasi

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Mengambil kira pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan agak rendah, Pusat Khidmat Dun (PKD) Gaal turun padang memberi penerangan berhubung program vaksinasi.

Program itu diadakan dengan kerjasama Pejabat Penerangan Pasir Puteh bertujuan mengajak dan memujuk orang ramai supaya mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Adun Gaal Ustaz Mohd Rodzi Jaafar berkata, masih ramai penduduk yang enggan kerana terpengaruh dengan kenyataan negatif golongan tertentu.

- Advertisement -

“Ada yang mendakwa bila mengambi dos vaksin akan menjadi tidak sihat dan sebagainya. Pengalaman saya setelah dua kali mengambil dos tidak mengalami sebarang simptom apa pun.

“Kecuali demam biasalah. Itu pun sebab saya tak makan ubat demam awal-awal,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Permai Prihatin Rakyat di Felcra Teratak Batu, semalam.

Bantuan itu sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Seramai 43 penduduk yang terdiri daripada penerima bulanan JKM menerima sumbangan bakul Ramadan.

Pada program itu, orang ramai yang hadir mendengar hebahan kepentingan vaksinasi melalui alat siar raya Jabatan Penerangan.

Mereka yang hadir juga berpeluang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Sebelum ini Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob merayu rakyat Kelantan mendaftar untuk menerima suntikan vaksin sebagai usaha bagi memutus rantaian pandemik.

Menurut Adun Gaal suntikan vaksin sebagai ikhtiar supaya virus tersebut tidak memberi kesan kepada ketahanan badan.

“Ini juga sebagai tawakal kita kepada Allah Taala. Lagipun kes jangkitan Covid-19 di Kelantan mutakhir ini begitu membimbangkan apabila kes harian begitu tinggi.

“Amat wajar sekiranya vaksin diambil oleh setiap anggota masyarakat di negeri itu termasuk mereka yang tinggal di Dun Gaal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -