‘Tak usah takut, mak cik nak selamat aje’

- Advertisement -

PASIR PUTEH:Tok soh takut la, mak cik nak selamat jah,” luah seorang warga emas Wan Khadijah Wan salleh, 81, yang baharu selesai mengambil suntikan vaksin hari ini.

Beliau merupakan antara warga emas menerima vaksin fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di jajahan tersebut.

Beliau teruja untuk menerima suntikan vaksin berkenaan malah memberitahu tidak berasa sakit atau lenguh-lenguh selepas menerima suntikan terbabit.

- Advertisement -

“Setakat ini, mak cik baik sahaja dan mengharapkan semua berjalan lancar dan mak cik nak semuanya selamat,” kata beliau ketika ditemui pada program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Tok Bali.

Pada program itu seramai 120 warga emas berusia 60 tahun menerima suntikan vaksin fasa kedua menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Wan Khadijah yang tinggal di Kampung Gaal turut mengajak masyarakat pelbagai lapisan untuk segera mendaftarkan bagi menerima suntikan vaksin Covid-19.

Abdul Ghani Yusof, 71, yang tinggal di Kampung Pulau Lima turut menerima suntikan vaksin untuk membolehkan beliau bertemu cucunya.

“Alhamdulillah tak sakit, Pak cik nak cucuk sebab nanti boleh jumpa dengan cucu,” ujar beliau yang mempunyai seramai 30 cucu.

Sementara itu Timbalan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab berkata, rekod terkini yang berdaftar menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pasir Puteh sebanyak 18,000 orang atau 20 peratus.

Beliau berkata, jumlah berkenaan merupakan sebahagian jumlah yang sepatutnya didaftar bagi penduduk di jajahan itu iaitu seramai 90,000 orang.

Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan membabitkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kumpulan yang mempunyai penyakit kronik akan bermula 19 April lepas.

Mereka yang tersenarai dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS) bermula 5 April atau dua minggu sebelum tempoh suntikan.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan tiga fasa di mana Fasa 1 bermula Februari hingga April membabitkan petugas barisan hadapan seramai 500,000 orang. – HARAKAHDAILY 22/4/2021

- Advertisement -