Pemimpin PAS Jerantut mesrai Orang Asal DUN Damak

- Advertisement -

JERANTUT: PAS Kawasan Jerantut telah mengadakan program Ziarah Mahabbah dengan penuh meriah di perkampungan Orang Asal Sungai Rengat dan Sungai Berjuang dalam DUN Damak, di sini kelmarin.

Ziarah kali ini diketuai ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud bersama anggota rombongan yang menyantuni mesra masyarakat di perkampungan tersebut dengan hadir bersama dua pacuan empat roda.

- Advertisement -

Aturcara bermula dengan majlis ramah mesra melibatkan kehadiran 153 penduduk daripada 49 keluarga selain dimeriahkan juga dengan kehadiran Pengerusi JKKK Sungai Rengat, Ahmad Faroq Fauzi dan Pengerusi JKKK Kampung Koi, Razali Isa.

Turut bersama adalah wakil NGO PAENGGERAK Orang Asal, Ustaz Muhammad Radi Naim dan Tok Batin, Fauzi Majid di mana pada majlis ini Ustaz Zuridan turut menyampaikan tazkirah mengenai kesucian Ramadan.

Rombongan meneruskan acara dengan ziarah ke Kampung Sungai Berjuang dan sempat singgah di Surau Kampung Terlang menunaikan solat Asar di samping bertanya khabar dan memesrai penduduk setempat.

Kehadiran mereka telah disambut para penduduk diketuai Tok Batin, Sudin Yoh dan Setiausaha JKKK Kampung Batu Balai, Ustaz Wan Amir Hamzah Wan Ishak semasa tiba di Perkampungan Orang Asal Sungai Berjuang.

Ustaz Zuridan berbesar hati menyampaikan sumbangan dan takwim Ramadan kepada 35 keluarga penduduk mewakili Pusat Khidmat Masyarakat DUN Damak.

“Program Ziarah Mahabah Ramadan ini adalah untuk mengeratkan silaturrahim selain menyampaikan sumbangan kepada warga DUN Damak tanpa mengira agama, warna kulit, kaum dan bangsa,” ujarnya yang juga Ketua Ulamak PAS Negeri Pahang. – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -