DUN Damak dipukul ribut, Ustaz Zuridan hulur bantuan

- Advertisement -

JERANTUT: ADUN Damak, Ustaz Zuridan Mohd Daud segera bergegas mengadakan lawatan menemui penduduk apabila dimaklumkan ribut yang membadai di beberapa perkampungan, di sini kelmarin.

“Kejadian bencana yang jarang berlaku tetapi serentak melibatkan banyak lokasi dalam DUN Damak. Saya telah memantau hampir semua lokasi bencana dan bertemu sendiri mangsa yang terkesan.

“Dengan izin Allah, tiada melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” ujar beliau yang juga Ketua Ulamak PAS Negeri Pahang di mana telah menyampaikan sumbangan kepada 10 keluarga mangsa terlibat.

- Advertisement -

Pemberian tersebut sebagai inisiatif bantuan awal beliau bagi meringankan beban keluarga mangsa atas musibah menimpa mereka yang di mana ribut itu menyebabkan kerosakan struktur kediaman.

Seorang mangsa, Mohd Azri Inon, 57 yang berkongsi detik kejadian memberitahu yang beliau ketika itu sedang makan bersama ibunya, Zauyah Mat Ali, 81 secara tiba-tiba dikejutkan oleh kedatangan angin kencang.

Kata Azri, dia terdengar bunyi tiupan angin sangat kuat dari atas bumbung merempuh atap di ruang tamu dan beranda rumahnya di Kampung Lata, Jalan Berau, Ulu Cheka, di sini sekitar jam 7:30 malam itu.

Akibatnya cerita beliau, rumahnya mengalami kerosakan teruk apabila bahagian atap di ruang tamu dan beranda tercabut diterbangkan oleh angin kencang semasa kejadian tersebut.

“Saya redha dan bersyukur kerana kejadian angin kencang ini tidak melibatkan sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 4/4/2021

- Advertisement -