Pemborong, penternak ayam diberi notis KPDNHEP Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kedah mengeluarkan lima Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) serta Notis Bertulis kepada lima syarikat pemborong dan penternak ayam di negeri ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kedah Mohd Shahran Mohd Arshad berkata notis itu dikeluarkan bagi mengenal pasti sama ada kenaikan harga ayam baru-baru ini disebabkan pemborong atau penternak.

- Advertisement -

“Menerusi notis berkenaan, pemilik syarikat perlu melengkapkan data mengenai kos secara terperinci dengan menyertakan resit, invois jualan, invois belian dan penyata jualan pada tahun semasa serta tiga tahun sebelum ini.

“Buat masa ini, kita kenakan kepada lima syarikat iaitu dua di Alor Setar dan masing-masing satu di Kulim, Sungai Petani dan Baling,” katanya kepada pemberita pada Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 di Pasar Besar Alor Setar, di sini hari ini.

Beliau berkata semua maklumat berkaitan kos operasi syarikat berkenaan akan diperhalusi bagi mengenal pasti sekiranya wujud unsur-unsur pencatutan atau mengambil untung secara tidak munasabah sehingga menyebabkan harga ayam meningkat.

Mohd Shahran berkata sekiranya syarikat tersebut dikesan melakukan kesalahan, mereka akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Wan Romani Wan Salim yang turut hadir ke program itu berkata berdasarkan pemantauan, kebanyakan peniaga menjual barangan keperluan pada harga yang munasabah.

“Saya berpuas hati apabila kebanyakan peniaga menjual pada harga munasabah, malah ada juga peniaga daging misalnya menjual RM32 sekilogram, lebih murah daripada harga ditetapkan iaitu RM34 sekilogram, saya harap ia diteruskan sampai skim ini berakhir,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -