Kenaikan harga ayam beri kesan hadapi Covid-19

Photo by Brooke Cagle on Unsplash
- Advertisement -

KOTA BHARU: Isu kenaikan harga barangan setiap kali Ramadan seperti perkara lumrah yang berulang-ulang setiap tahun.

Biarpun pelbagai peraturan dan kaedah diperkenalkan kerajaan bagi menangani isu tersebut namun ia tetap berulang.

Terbaharu, isu harga ayam diperkatakan ramai. Tinjauan di sekitar bandar Kota Bharu semalam mendapati harga barangan basah termasuk ayam meningkat sehingga RM9 sekilogram.

- Advertisement -

Sedangkan harga sebelum ini antara RM7.50 hingga RM8.30 sekilogram.

Peniaga ayam Hayati Daud, 50 berkata, beliau tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menaikkan harga ayam bagi menampung kos untuk mengelak mengalami kerugian.

Bagaimanapun beliau menyifatkan kenaikan harga tersebut sebagai perkara
normal berlaku setiap Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya.

“Harga sebelum ini RM7.30 per kg, namun meningkat sehingga RM8.50 per kg di mana ia naik antara 30 hingga 40 sen setiap minggu.

“Harga yang kita tawarkan tidak tinggi sangat kerana mengambil kira keperluan pembeli ketika bulan Ramadan sekarang,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Kerajaan akan menguatkuasa Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) yang bermula 21 April sehingga 20 Mei sebagai langkah mengawal harga barnagan ketika musim perayaan.

Malah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kelantan dilapor mengeluarkan 48 notis amaran terhadap peniaga dan pemborong ayam di negeri itu.

Sementara itu, seorang pengguna Mazlan Abdul Rani, 39, berkata, kenaikan harga keperluan harian sentiasa berlaku apabila tiba musim perayaan.

Katanya, kerajaan hendaklah membuat kawalan harga bukan sahaja melibatkan pengeluar dan pembekal bahan mentah sahaja, bahkan turut membabitkan pembekal makanan ternakan.

“Kenaikan yang berlaku sekarang sangat memberi kesan besar kepada pengguna, lebih-lebih lagi ketika kita menghadapi wabak Covid-19,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -