Pedoman Al-Quran: Berusaha mengelakkan mudarat kepada diri

- Advertisement -

PENELITIAN ayat Al-Quran hari ini menfokuskan tentang segala manfaat dan mudarat yang berlaku adalah dengan izin Allah SWT jua. Manusia hendaklah meletakkan keyakinan yang tinggi dalam soal tersebut supaya tidak terjebak dengan pengaruh ajaran mendakwa mengetahui perkara ghaib yang berakhir dengan syirik kepada Allah. Firman Allah SWT:

قُل لَّاۤ أَمۡلِكُ لِنَفۡسِی نَفۡعࣰا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاۤءَ ٱللَّهُۚ وَلَوۡ كُنتُ أَعۡلَمُ ٱلۡغَیۡبَ لَٱسۡتَكۡثَرۡتُ مِنَ ٱلۡخَیۡرِ وَمَا مَسَّنِیَ ٱلسُّوۤءُۚ إِنۡ أَنَا۠ إِلَّا نَذِیرࣱ وَبَشِیرࣱ لِّقَوۡمࣲ یُؤۡمِنُونَ

Maksudnya: “Katakanlah: Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”. (Al-A’raf: 188)

- Advertisement -

Walaupun terjadinya mudarat serta manfaat adalah di bawah ketentuan Allah, namun manusia hendaklah berikhtiar dengan sedaya upaya bagi mengelakkan mudarat berlaku. Sesuatu mudarat apabila dikenal pasti, maka ia wajib dihilangkan serta mencegahnya daripada terjadi sebagaimana kaedah fiqh ada menyatakan:

الضرر يزال بقدر الإمكان

“Mudarat itu wajib dihilangkan dengan seberapa upaya yang mungkin.”

Oleh itu, dalam suasana Covid-19 yang masih menular ini, semua pihak mesti bekerjasama dengan kerajaan untuk mengelakkan sebarang mudarat penyakit dalam keluarga masing-masing. Rasulullah SAW apabila berbicara mengenai wabak penyakit menyarankan agar migrasi atau rentas negeri dihentikan serta-merta. Tindakan Rasulullah SAW ini boleh diklasifikasikan dalam bahasa moden sebagai kuarantin diri agar penyakit atau wabak berkenaan tidak tersebar secara meluas.

Ketika Rasulullah SAW diberitahu oleh Farwah bin Musaik bahawa terdapat suatu kawasan yang bernama Abyan yang telah berlaku wabak yang buruk, maka Rasulullah SAW lantas menyebut:

دَعْهَا عَنْكَ فَإِنَّ مِنَ الْقَرَفِ التَّلَفَ

Maksudnya: “Tinggalkan ia (kawasan tersebut). Sesungguhnya perbuatan mendekatkan diri dengan keburukan  (wabak dan penyakit) akan membawa kepada kebinasaan”. (Riwayat Abu Daud)

Maka sebagai ikhtiar dalam berhadapan dengan pandemik ini, pihak kerajaan terpaksa melakukan beberapa perkara yang boleh jadi tidak digemari oleh rakyat, namun atas menolak mudarat tadi ia terpaksa dilaksanakan. Penutupan bazar terbuka dan premis yang memungkinkan individu mahupun syarikat mungkin mengalami kerugian dari sudut kewangan dan ekonomi. Akan tetapi, mudarat penyebaran dan wabak Covid-19 ini mudaratnya lebih besar kerana mampu menggugat nyawa manusia. Sedangkan memelihara nyawa manusia merupakan keutamaan Maqasid Syariah sesudah menjaga agama dan lebih utama daripada menjaga harta.

Semoga kita dapat bersatu hati dalam mengekang pandemik ini dan memperbanyakkan doa serta munajat khasnya pada bulan Ramadan yang mulia agar Allah SWT mengangkat pandemik ini dalam negeri dan negara kita, biznillah.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
09 Ramadhan 1442/21 April 2021 – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -