PAS-Umno IM pacu pengukuhan MN di Pahang

- Advertisement -

INDERA MAHKOTA: Muafakat Nasional antara PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Indera Mahkota terus diperkukuhkan dengan rancangan bersama bagi program Ramadan yang akan diadakan 8 Mei depan.

Program bakal melibatkan kehadiran Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi Umno Negeri Pahang itu dirancang dilaksanakan di Padang Awam Chenderawasih dalam DUN Semambu, di sini.

- Advertisement -

Menurut Yang Dipertua PAS Indera Mahkota, Andansura Rabu yang juga ADUN Beserah, program tersebut diharap menjadi pencetus agenda penyatuan ummah yang perlu diperkasakan lagi di seluruh negeri ini.

“Umat perlu diberi kefahaman bahawa Islam perlu bersatu untuk menjaga kepentingan agama dan semua pihak termasuk orang bukan Islam,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang.

Tegasnya, kefahaman mengenai agenda tersebut perlu diberi penekanan dan melalui program ini dapat dicetuskan penyatuan yang lebih padu dan kemas untuk bersama mengharungi cabaran negara masa kini.

Timbalan Ketua Umno Indera Mahkota, Dato’ Dr Johan Mohd Shah pula berkata, penganjuran program ini sendiri menggambarkan muafakat dan kerjasama apabila Wanita Umno dan Muslimat PAS akan mengendalikannya.

Beliau selaku pengerusi mesyuarat menaruh harapan agar program yang bakal memasak sepuluh periuk besar bubur lambuk untuk orang awam itu berjalan dengan kerjasama baik dari kedua-dua pihak.

Ketua Wanita Umno Indera Mahkota, Wan Naapiah Wan Yusuf juga pada ucapannya mengharapkan agar program memasak dan agihan bubur lambuk ini dapat mengeratkan silaturahim dan ukhuwah sesama warga. 

“Saya juga tidak lupa untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada kedua ikon Indera Mahkota iaitu Datuk Mustafa Kamal Abdul Hamid dan Andansura Rabu yang sentiasa berusaha memurnikan hubungan antara Umno dan PAS di sini.

“Sikap ini wajar diteladani dan dikekalkan oleh penyokong Umno dan juga PAS serta bersama-sama turun padang menjayakan majlis ini,” ujarnya ketika mesyuarat tersebut.

Harapan bersama tersebut disokong oleh isteri Andansura, Nor Azni Wahab yang turut sama mengambil bahagian dalam mesyurat berdurasi satu jam setengah di Pejabat Umno Bahagian Indera Mahkota ini. 

Beliau menyifatkan program sebegini akan membantu memperkukuhkan lagi misi Muafakat Nasional di Indera Mahkota khususnya dan juga di seluruh negeri Pahang

“Ia juga dapat dijadikan signal kepada masyarakat bahawa Muafakat Nasional di Pahang sangat kukuh,” harap beliau. – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -