Kenyang boleh lemah hati, naik nafsu syahwat

- Advertisement -

ALLAH SWT berfirman maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman difardhukan ke atas kamu berpuasa sebagaimana difardukan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al Baqarah: 183)

Ayat di atas menetapkan perintah Allah kepada orang-orang yang beriman supaya berpuasa di bulan Ramadan dan di hujung ayat tersebut Allah menjelaskan hikmah di sebalik kewajipan itu iaitu sifat takwa.

- Advertisement -

Kesan kepada diri seorang yang menunaikan puasa dengan mengikuti syarat-syarat dan rukun-rukunnya serta adab-adab dengan sempurna sebagai satu cara tarbiah untuk mendapat jiwa yang aman dan takwa serta kekusyukan seluruh pancaindera.

Takwa ertinya menunaikan segala perintah-perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-larangannya.

Setiap tahun menjelang Ramadan kita dapat menambah ibadah puasa kita. Jika umur seorang sudah sampai 70 tahun ertinya dia sudah berpuasa Ramadan selama lebih kurang 55 tahun dan jika seorang itu sudah berumur 50 tahun maknanya dia sudah berpuasa lebih kurang 35 tahun.

Sekiranya sekali berpuasa dapat tahap takwa yang dicita-citakan maka bayangkan sekiranya seorang itu sudah berpuasa selama 35 tahun atau 55 tahun maka sudah pasti dia dapat mencapai tahap takwa yang sangat memuaskan.

Tetapi sebaliknya jika puasa Ramadan itu tidak dijaga syarat rukun dan adab-adabnya maka dibimbangi tahap ketakwaannya tidak bertambah bahkan mungkin boleh berkurangan.

Dari segi perintah-perintah Allah yang wajib dan yang sunat: berapa banyak yang telah dilakukan baik dari segi ibadat, solat, haji, puasa dan zakat atau dalam bidang muamalat: ekonomi, politik, undang-undang dan pentadbiran Islam yang dilaksanakan ikut peraturan Islam hasil dari takwa yang diperolehi daripada ibadah puasa yang diamalkan tiap-tiap tahun.

Apabila seorang itu telah mencapai takwa yang sebenar maka dia akan menolak segala jenis maksiat dan kemungkaran seperti kegiatan perjudian, minuman keras, riba, rasuah, salah guna kuasa, kezaliman penyelewengan dan seumpamanya.

Setiap perintah Allah mempunyai hikmah yang kadang-kadang dengan jelas oleh Allah dan kebanyakan hikmah-hikmah itu tersembunyi. Sebagai contoh solat diwajibkan dengan tujuan untuk mencegah orang yang menunaikan solat secara istiqamah daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Firman Allah maksudnya: “Sesungguhnya solat itu dapat mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al Ankabut: 45)

Solat juga boleh menghilangkan daripada keluh kesah. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut) apabila ia ditimpa kesusahan ia sangat resah gelisah dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, iaitu mereka yang berterusan mengerjakannya.” (Al Maarij : 11-22)

Zakat difardhukan hikmahnya untuk membersihkan hati seorang dan mensucikan hartanya. Firman Allah yang bermaksud: “Ambillah sebahagian dari harta mereka sebagai zakat supaya dengannya kamu membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk.” (At Taubat: 103)

Maka begitulah puasa Ramadan difardhukan supaya bertambah sifat takwa kepada Allah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya.” (Al A’raf: 26)

Dengan berpuasa Ramadan dapat menyuburkan hati dengan takwa yang merupakan kunci dan pintu segala kebaikan dan asas kepada kelebihan yang ada pada kehidupan manusia.

Apabila seorang itu bertakwa maka apa yang dilakukan oleh setiap mukmin mengandungi sifat siddiq, amanah, berani, sabar, adil, pengampun, belas kasihan, dapat mengawal diri dan lain-lain sifat mahmudah.

Ibadah puasa berbeza dengan fardhu-fardhu yang lain. Ianya merupakan perbuatan atau pergerakan anggota tubuh badan manakala puasa menahan secara dalaman kerana puasa ialah meninggalkan atau menahan nafsu daripada kebiasaannya.

Puasa pada hakikatnya memberhentikan sebahagian daripada kerja-kerja anggota tubuh badan dan menangguhkan kerja-kerja tersebut ke jangka masa yang tertentu.

Jika pada kebiasaan Ma’idah (tempat memproses makanan) bekerja 3 kali dalam sehari maka pada masa berpuasa ianya akan bekerja 2 kali sahaja maka begitulah hendaknya lidah, mata, telinga dan pancaindera yang lain hendaklah dijaga dari melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah supaya puasa itu dapat menghasilkan sifat takwa yang sebenar.

Sesungguhnya puasa adalah amalan rahsia antara hamba dengan Tuhannya dan keadaan seperti itu jarang berlaku dalam ibadah-ibadah lain. Sebab itu Islam menggalakkan penganutnya supaya mengikut adab-adab dalam bersedekah dengan merahsiakan sedekah itu seolah-olah apa yang dihulurkan oleh tangan kanannya tidak diketahui oleh tangan kirinya.

Nabi Muhammad s.a.w memerintahkan umatnya supaya menjadikan puasa dan lapar dahaga itu sebagai senjata melawan syaitan di samping memberi amaran agar tidak terlalu kenyang.

Saidatina Aisyah Radhiallahu ‘Anha berkata maksudnya: Bala pertama berlaku pada umat ini selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w ialah kekenyangan.

Sesungguhnya suatu bangsa itu apabila perut mereka sudah kenyang maka gemuklah mereka lalu lemahlah hati-hati mereka dan naik nafsu syahwat mereka.

>>> DATO’ DR MAHFODZ MOHAMAD, Pengerusi Assabiqun – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -