Sekadar satu lubang tidak ditutup terus jadi tular

- Advertisement -

BUKAN senang menjadi kerajaan. Setelah 10 tahun berada di barisan hadapan sebagai Exco Kerajaan Negeri dahulu, saya begitu kepenatan.

Apabila Parlimen dibubarkan pada tahun 2018, seolah-olah satu bebanan telah diangkat daripada bahu saya. Ada yang berkata bukan susah untuk menjadi Exco.

Segala-galanya disediakan. Ada pegawai-pegawai kerajaan untuk membantu. Turut disediakan pelbagai kemudahan-kemudahan. Memang mudah jika tidak memikirkan amanah yang terpaksa ditanggung.

- Advertisement -

Bukan sahaja terpaksa menjawab di dunia tetapi di akhirat kelak. Selain daripada itu terdapat pelbagai yang perlu dicapai.

Justeru itu saya kasihan kepada rakan-rakan yang hari ini dilantik menjadi Menteri, Timbalan Menteri atau yang menerajui sama ada GLC atau agensi kerajaan.

Saya tahu tekanan yang mereka lalui kerana saya pernah melaluinya. Jawatan-jawatan itu bukan satu keistimewaan tetapi satu amanah dan sudah tentu satu bebanan.

Harapan rakyat adalah begitu tinggi apabila kerajaan yang baharu mengambil alih. Ianya berlaku ketika Pakatan Rakyat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional di Selangor pada Mac 2008.

Pertama adalah hasrat rakyat yang mahukan kelainan. Kami terpaksa menjadi lebih baik dari kerajaan sebelum itu. Rakyat sentiasa membandingkan kami dengan mereka. Kami seperti di bawah mikroskop. Segala tindakan kami diperhatikan. Sentiasa ada yang mencari salah silap.

Tambahan pula kerajaan yang lepas meninggalkan banyak masalah dan ia menjadi masalah kami. Rakyat tidak mahu mendengar kami menyalahkan kerajaan yang lepas. Mereka mahu kami menyelesaikan masalah-masalah mereka.

Konsep Islamik

Yang kedua adalah harapan ahli-ahli dan penyokong-penyokong parti. Oleh kerana saya mewakili parti Islam, terdapat mereka yang mahu tahu apa yang saya akan lakukan untuk Islam.

Potfolio yang saya pegang adalah perumahan dan bidang-bidang yang berkaitan dengannya. Saya telah melancarkan program pembinaan rumah mampu milik dan membaikpulih pangsapuri-pangsapuri kos rendah tetapi mungkin ada yang berkata kerajaan-kerajaan di Barat juga melakukan yang sama.

Saya yakin ada yang bertanya apa yang Islamik yang telah saya lakukan? Mereka mungkin mahukan Exco dari sebuah parti Islam melakukan lebih daripada itu.

Salah satu sebab kenapa ini berlaku adalah kerana kajian yang tidak mencukupi atau yang tidak mendalam. Jika ada sekalipun ia tidak ketahui oleh orang ramai.

Walaupun membantu rakyat dengan menyediakan rumah kediaman atau membaikpulih kediaman mereka adalah Islamik namun tanpa slogan seperti “Program Perumahan Islam” orang ramai tidak akan mengiktirafnya sebagai program-program Islamik yang sepatutnya dipelopori oleh Exco sebuah parti Islam.

Ramai yang memiliki pandangan yang terhad tentang apa yang Islamik dan apa yang tidak Islamik.

Mungkin di dalam bidang perundangan atau pendidikan mereka boleh membezakan di antara Islamik dan tidak Islamik.

Tetapi mungkin tidak di dalam bidang-bidang seperti perumahan atau perancangan bandar. Walaupun sesuatu yang Islamik dihasilkan untuk perumahan tetapi jika ia tidak dipakej sebagai Islamik maka tidak ramai yang sedar.

Apabila saya bercakap tentang perumahan Islam, maklum balas yang saya terima adalah rumah 3 bilik walhal kita telah bergerak jauh ke hadapan dengan rumah fleksibel yang boleh menjadi 1 bilik, 2 bilik atau 3 bilik.

Selain dari itu kadang-kala perkara-perkara yang dilaksanakan oleh Barat, konsepnya telah dicuri daripada Islam itu sendiri.

Apabila kita merampas semula apa yang merupakan warisan Islam, kita akan dituduh meniru Barat walhal Barat yang meniru kita terlebih dahulu. Justeru itu kadang-kala apabila saya melaksanakan sesuatu, saya perlu menyatakan justifikasi kenapa saya melakukannya dari perspektif Islam.

Exco PAS Selangor

Ketika di kerajaan negeri Selangor bilangan kami adalah kecil. Pada penggal pertama dari 2008 hingga 2013, hanya terdapat 8 Adun PAS dan 3 anggota Exco PAS.

Pada penggal kedua dari 2013 hingga 2018, terdapat 15 Adun PAS dan 4 Exco PAS sejurus selepas pilihan raya umum. Bilangan ini berkurangan selepas Kajang Move.

Kami bukan majoriti tetapi ada yang menuntut kami melakukan perkara-perkara seolah kami dua pertiga. Walau bagaimanapun Exco-Exco PAS berperanan di dalam potfolio masing-masing yang selari dengan hasrat sebuah parti Islam.

Walau bagaimanapun susah hendak memuaskan hati semua pihak. Tidak keterlaluan untuk berkata apabila anda di dalam kerajaan, anda seperti berada di dalam kandang orang yang bersalah di mahkamah.

Kadang-kala memang menyakitkan hati apabila terdapat perkara-perkara yang tidak dapat dicapai. Terdapat keadaan di mana saya terfikir untuk meletakkan jawatan sebagai Exco kerana tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan.

Tetapi saya telah memikirkan kemudaratan yang lebih besar jika saya dan mungkin rakan-rakan meninggalkan kerajaan.

Manfaat kami berada di dalam kerajaan adalah jauh lebih besar daripada keputusan yang tidak menyebelahi kami. Saya yakin perkara yang sama juga berlaku di dalam mana-mana kerajaan selagi kita bukan majoriti. Susah hendak memahami jika anda tidak merasainya.

Jelas sekali menjadi pembangkang memang lebih mudah daripada kerajaan. Saya pernah merungut kepada anak saya yang sedang menuntut di IPTA bahawa kerajaan telah menutup ribuan lubang di jalanraya tetapi 1 lubang yang tidak ditutup menjadi tular (viral).

Kata anak saya, kerajaan mungkin telah menutup 1,000 lubang dan tertinggal 1 lubang tetapi rakyat hanya akan nampak 1 lubang tersebut dan bukan lubang-lubang yang ditutup. Itulah realiti berada di dalam kerajaan.

Penulis merupakan Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 21/4/2021

- Advertisement -