Sekolah dikena PKPD dipantau YIK, Jabatan Kesihatan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tiga sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sekolah berkenaan Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman Kok Lanas, Maahad Tahfiz Bunut Sarang Burung Tumpat dan Maahad Tahfiz Wal Qiraat Pulai Chondong, Machang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Maklumat, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah itu diambil untuk keselamatan pelajar dan guru-guru.

- Advertisement -

Katanya, berikutan penularan kes harian Covid-19 yang meningkat mutakhir ini, kerajaan negeri sedar kebimbangan ibu bapa terhadap anak masing-masing.

“Ditambah lagi dengan terputusnya hubungan dengan anak-anak khususnya mereka yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

“Ada ibubapa menghubungi pihak sekolah atau warden untuk mengetahui keadaan anak-anak mereka,” katanya selepas mengadakan tinjauan ke beberapa sekolah berasrama YIK yang dikenakan PKPD semalam.

Beliau juga berkata, ada ketikanya panggilan mereka (ibu bapa) tidak sempat dijawab pihak sekolah kerana keadaan tertentu yang belum mengizinkan.

Bagaimanapun katanya, pihak sekolah akan menghubungi ibubapa sekiranya ada apa-apa perkembangan terbaru berhubung pelajar terbabit.

Oleh itu, beliau berharap ibu bapa dapat memahami keadaan tersebut memandangkan pihak sekolah berhadapan situasi agak sukar sekarang.

“Pelajar sentiasa dipantau dengan rapi oleh pihak sekolah, Jabatan Kesihatan Daerah dan agensi-agensi lain.

“YIK berusaha mencari kaedah terbaik untuk mengurangkan masalah tersebut.
Apa yang penting kita berdoa agar Allah segera mengangkat cubaan wabak yang berlaku sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -