Program Pembangunan Industri Rel

- Advertisement -

BERSAMA Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), YB Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam majlis Pelancaran Program Peningkatan Industri Strategik dan PKS Berprestasi Tinggi (PRESTIGE): Program Pembangunan Industri Rel (RIDP).

Melalui program PRESTIGE: RIDP ini, syarikat akan dibimbing untuk meningkatkan keupayaan dan kebolehpasaran seterusnya meningkatkan peratusan kandungan tempatan (local contents) sekurang-kurangnya 45 peratus dalam beberapa komponen yang telah dikenal pasti menjelang tahun 2030.

Syarikat-syarikat yang terpilih akan menjalani program akreditasi persijilan Antarabangsa, iaitu ‘International Railway Industry Standard’ supaya mereka layak untuk menyertai projek rel tempatan dan bersaing di peringkat Antarabangsa. Apa yang membanggakan, program persijilan seumpama ini julung-julung kali diadakan untuk industri rel di Malaysia.

- Advertisement -

Selain itu, geran padanan atau ‘matching grant’ yang diperuntukkan oleh MEDAC melalui agensinya, SME Corp dapat membantu syarikat-syarikat ini untuk menaik taraf kapasiti seperti menambahbaik fasiliti serta mesin-mesin yang berkaitan dengan produk rel yang lebih berkualiti.

Syarikat-syarikat juga akan didedahkan dengan Program Latihan Professional (Safety Rail & Sustainable Rail) dan dibantu dalam Program pembangunan Kapasiti Industri (menaiktaraf fasiliti, mesin, pengujian dan lain-lain) yang lebih tersusun dan bersasar.

Dalam tempoh masa sepuluh tahun akan datang, bakal wujudnya pembangunan pesat projek rel apabila 7 projek pembinaan telah diluluskan oleh Kerajaan, melibatkan penambahan lebih kurang 1,030 kilometer trek rel. Bukan sekadar itu, keperluan ‘rolling stock’ untuk penumpang dan kargo akan turut bertambah seiring dengan peningkatan permintaan bagi mod pengangkutan berasaskan rel.

Dengan adanya program pembangunan industri rel tempatan, kita akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada pembekal atau OEM dari luar negara dan pada masa yang sama dapat mengurangkan aliran kewangan ke luar negara.

Saya berharap pada masa hadapan, pemain industri tempatan akan dapat menyokong program penyelenggaraan dan membaik pulih aset-aset rel serta menambah jangka hayat dan kebolehoperasian aset-aset kereta api sehingga ke 30 – 40 tahun seperti di Eropah, Jepun dan China yang mampu menjangkau jangka hayat dan kebolehoperasian sehingga 40 tahun melalui program penyelenggaraan yang efektif.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak; Ketua Setiausaha MEDAC, Dato’ Suriani Binti Dato’ Ahmad; Pengerusi SME Corporation Malaysia, Dato’ Sri Syed Hussien Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif Technology Depository Agency (TDA), Dr. Sharoul Jambari.

DATUK SERI IR. DR. WEE KA SIONG
Menteri Pengangkutan Malaysia – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -