Komitmen kerajaan tingkatkan integriti dan antirasuah

- Advertisement -

YAB Perdana Menteri semalam telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 14 Bilangan 1 Tahun 2021.

Sebanyak 8 kertas mesyuarat berkaitan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP) telah dibincang serta dimaklumkan kepada ahli-ahli JKKMAR. Keputusan-keputusan penting yang telah dicapai dalam mesyuarat JKKMAR adalah:

Mesyuarat bersetuju dengan cadangan Kementerian Kewangan (MOF) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menambah baik Integrity Pact agar ia seiring dengan piawaian Antarabangsa. Inisiatif ini dapat membantu kerajaan dalam menangani isu-isu konflik kepentingan. Antara cadangan yang dipersetujui adalah:

(i) Menandatangani Integrity Pact di peringkat pendaftaran syarikat dengan MOF dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
(ii) Perkongsian maklumat dalam sistem e-perolehan dengan agensi penguatkuasa undang-undang berkaitan.
(iii) Melaksanakan kajian lanjut projek rintis bagi mengenalpasti keperluan pemantau bebas dalam perolehan awam.

- Advertisement -

Bagi meningkatkan integriti dan ketelusan dalam perolehan kerajaan dan menghindarkan penglibatan pihak-pihak berkepentingan seperti kartel, pindaan ke atas Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 (Akta 694) perlu disegerakan supaya wujud satu peruntukan undang-undang khusus berkaitan kesalahan individu atau organisasi komersial dalam penjualan projek atau tender kerajaan.

Selain itu, mesyuarat juga bersetuju supaya pelaksanaan inisiatif berkaitan Pemilikan yang Bermanfaat atau ‘Beneficiary Ownership’ perlu dipercepatkan kerana mampu meningkatkan ketelusan dalam perolehan projek atau tender kerajaan. Melalui inisiatif ini, syarikat yang memperoleh projek kerajaan perlu membuat pengisytiharan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan dalam syarikat mereka.

Hasil Laporan Semakan Semula Separuh Penggal NACP 2019-2023, JKKMAR secara prinsip bersetuju supaya 82 inisiatif diteruskan dengan mengambil kira 3 inisiatif digabungkan, 13 inisiatif ditangguhkan pelaksanaannya dan 12 inisiatif baharu ditambah. Semakan ini bertujuan untuk menambah baik dan menyesuaikan NACP dengan dasar semasa kerajaan. Manakala bagi 29 inisiatif yang telah selesai pelaksanaannya pada 2019, pencapaian pelaksanaan akan dipantau oleh Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan kerjasama Ketua Agensi Peneraju inisiatif berkenaan.

Keselamatan dan kedaulatan negara harus menjadi agenda utama demi menjamin kesejahteraan rakyat. Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu pemalsuan MyKad. Mesyuarat JKKMAR bersetuju dengan cadangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk meningkatkan integriti pengeluaran MyKad melalui pengeluaran teknologi tinggi yang diperketatkan.

Bagi memperkasakan usaha peningkatan integriti dan antirasuah khusus di kalangan generasi muda, mesyuarat bersetuju supaya Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) ditawarkan sebagai subjek elektif peringkat Sijil, Diploma dan Sarjana Muda di semua Institusi Pengajian Tinggi mulai tahun 2022 dan seterusnya diperkasa untuk ditawarkan sebagai salah satu kursus Matapelajaran Pengajian Umum (MPU) mulai tahun 2023. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama SPRM dan Institut Integriti Malaysia.

Sebagai salah satu usaha memperkasakan perkhidmatan awam di negara ini, JKKMAR telah dimaklumkan beberapa keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) Peringkat Kebangsaan yang diadakan Februari lalu antaranya:

(i) Pelaksanaan pusingan kerja bagi Ketua Setiausaha (KSIJ) dan Ketua Pengarah.
(ii) Ketua Jabatan hendaklah mendapatkan pensijilan Anti Bribery Management System – MS ISO 370001 bagi kementerian atau jabatan atau kerajaan negeri masing-masing dalam tahun 2021.
(iii) Semua Pegawai Unit Integriti dan Unit Audit Dalam tidak akan terlibat dalam apa-apa mesyuarat berkaitan perolehan atau dana di kementerian atau jabatan dan agensi walaupun sebagai pemerhati. Tugas Unit Integriti hanya dibenarkan bagi tujuan pemeriksaan latar belakang bagi tujuan pelantikan ahli panel sahaja.

Perdana Menteri juga mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohd Sallehhuddin bin Hassan yang dilantik sebagai Ketua Pengarah GIACC bermula 9 April lalu.

Kerajaan sentiasa memberi komitmen untuk menambah baik governans dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini. Sehubungan itu, mantan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim bin Mohamed telah dilantik sebagai Penasihat Khas GIACC mulai 1 Januari 2021. Pelantikan ini dibuat bagi memastikan usaha-usaha yang sedang berkaitan NACP dapat terus dilaksanakan sepertimana yang dihasratkan.

PUSAT GOVERNANS, INTEGRITI DAN ANTIRASUAH NASIONAL (GIACC) – HARAKAHDAILY 20/4/2021

- Advertisement -