Iklan judi raya satu penghinaan keterlaluan

Abdul Latiff Abdul Rahman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman menzahirkan rasa kesal dan kecewa atas tindakan sebuah syarikat kasino yang membuat pengiklanan judi bertemakan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, tindakan tersebut jelas sekali mengetepikan sensitiviti umat Islam yang jelas mengharamkan sama sekali aktiviti penjudian.

Ini, ujarnya sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Maidah ayat 90 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”.

- Advertisement -

Tambahnya, apa yang lebih mendukacitakan, iklan judi tersebut turut mencampuradukkan elemen Hari Raya Aidilfitri yang merupakan hari perayaan bagi umat Islam yang telah menjalani ibadah puasa selama sebulan.

“Hari suci tersebut tidak sewajarnya dihina dengan sedemikian rupa,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau.

Katanya lagi, tindakan tegas perlu dikenakan ke atas penerbit dan juga pelakon yang telah menyebarkan iklan berkenaan.

“Hal ini kerana, saya berpandangan, iklan sedemikian rupa yang langsung tidak mengambil kira sensitiviti kaum, tidak mustahil boleh mendatangkan mudarat yang lebih besar sehingga tercetusnya polemik perkauman dan agama jika terus dibiarkan,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak PDRM yang telah bertindak terhadap mereka yang terlibat.

Tambahnya lagi, semoga hukuman yang setimpal dikenakan sebagai pengajaran pada masa akan datang agar tidak berulang. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -