Kekuatan akidah depani cabaran kecelaruan gender

- Advertisement -

KOTA BHARU: Konvensyen Keluarga Sakinah (KKS) menggariskan 15 resolusi sebagai rumusan dan saranan dalam mendepani cabaran serta isu-isu semasa berkaitan kekeluargaan.

Konvensyen dua hari itu menyaksikan sembilan sesi pembentangan kertas kerja yang melibatkan aspek kerohanian, kemahiran keibubapaan dan kemasyarakatan.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Tuan Mohd Suhaimi Mohamed berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, pengukuhan akidah memain peranan penting mendepani cabaran rumah tangga.

- Advertisement -

Katanya kekuatan akidah perlu diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat bagi menghadapi cabaran semasa berkaitan kecelaruan gender dan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

“Era ledakan teknologi maklumat dan aplikasi gajet menuntut kebijaksanaan ibu bapa dalam mengimbangi tuntutan tersebut,” katanya pada Konvensyen Keluarga Sakinah 2021 yang disiar secara langsung menerusi platform Facebook Live UMK semalam.

Program itu dianjur Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Keluarga, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Pusat Islam Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tuan Mohd Suhaimi juga berkata, platform media sosial perlu dioptimumkan dengan lebih berkesan dalam menyalurkan maklumat dan mendapat maklum balas masyarakat berkaitan isu-isu kekeluargaan.

“Kepentingan ibu bapa berinteraksi dan berkomunikasi dengan anak-anak secara berkesan dapat mengelakkan anak-anak bergantung kepada gajet,” ujarnya.

Kata beliau juga resolusi konvensyen turut merumuskan perkahwinan di usia muda memerlukan sokongan sewajarnya (moral dan kewangan) daripada ibu bapa.

Menurutnya juga bimbingan (kursus pasca perkahwinan) yang dianjurkan pihak berwajib perlu diadakan dari semasa ke semasa.

“Ia termasuk mewujudkan dasar pendidikan seksualiti dalam menangani dan melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa.

“Ibu bapa perlu cakna untuk memantau aspek pendidikan serta perkembangan seksualiti anak-anak di samping kempen kesedaran mengenai isu keganasan rumahtangga perlu dipertingkatkan dalam masyarakat,” ujarnya.

Kata beliau juga ibu bapa perlu memantau pergerakan dan pergaulan serta berbincang dengan anak-anak mengenai hal ehwal kehidupan mereka.

Selain itu keperluan terhadap kefahaman yang jelas mengenai hak dan tanggungjawab berkaitan nafkah setiap pasangan yang bercerai.

Menurut Tuan Mohd Suhaimi keupayaan suami dalam memenuhi konsep Qawwam (kepimpinan) dalam hal ehwal kekeluargaan merupakan faktor terpenting ke arah kerukunan dan keharmonian rumahtangga. – HARAKAHDAILY 19/4/2021

- Advertisement -